Kerajaan Teliti Cadangan HSR Berakhir Di JB

BATU PAHAT 28 Jun – Kerajaan sedang meneliti secara terperinci projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dicadangkan beberapa pihak supaya terminal perkhidmatan itu berakhir di Johor Bahru dan bukan di Singapura.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, semua pendapat dan input yang diterima termasuk daripada ahli Parlimen serta pihak berkuasa pengangkutan negara sedang dikaji.

aziz kaprawiMenurutnya, Malaysia akan mempu­nyai kuasa mutlak sekiranya projek ter­sebut berakhir di Jo­hor Bahru seperti ca­dangan awal kerana ia akan memberi manfaat terhadap ekonomi negara tanpa perlu merujuk negara jiran berkenaan.

“Kerajaan sedang meneliti se­gala fakta, input serta cadangan yang diberikan itu, apatah lagi jika membabitkan kepentingan negara terutama dari segi ekonomi maka kita perlu membuat keputusan sewajarnya.

“Bagaimanapun, keputusan me­ngenai isu ini dijangka diputuskan oleh Kabinet selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya selepas menyampaikan sumba­ngan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Sri Gading, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kementerian Pe­­ngangkutan Singapura (MOTS) me­nyatakan rasa ter­kejut dengan kenya­taan Su­ruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tentang cadangan mahu menamatkan terminal HSR itu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Ismal Mohd. Kamal dilaporkan ber­kata, keseluruhan pro­jek itu akan berada dalam sempadan negara dan Malaysia mempunyai kawalan penuh ke atasnya sekiranya laluan terakhir di CIQ.

Malah, Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad turut mempersoalkan kewajaran pembabitan Singapura dalam projek itu, selain beberapa ahli Parlimen lain juga mahu kerajaan mengutamakan manfaat serta pembangunan rakyat di Johor berban­ding negara lain.- Utusan