PasMa Sebagai NGO Sememangnya Satu Wayang – Ustaz Reeza

KUALA LUMPUR 25Jun – Bekas aktivis Pas, Ustaz Reeza Kamaruddin sedikit pun tidak terkejut malah sudah menjangkakan tindakan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang akan menggerakkan usaha bagi membolehkan sebuah parti baharu ditubuhkan.

Menurutnya beliau akan terkejut seandainya hari ini Pasma terus menerus dengan gerakan sebelum ini dan apa yang jelas dalam perkembangan tersebut adalah institusi berkenaan telah keluar daripada wayang dan permainan yang didendang sekian lama.

ust-reeza“Betul…Saya sikit pun tidak terkejut dengan apa yang akan digerakkan oleh PasMa itu. Namun jika keadaan yang sebaliknya mungkin saya akan terpinga-pinga. Yang jelas PasMa telah menujukkan wajah dan baju mereka yang sebetulnya.

“Rentak tari mereka sebelum ini bahawa mereka akan terus kekal sebagai NGO memang betul…Tetapi kenyataan daripada PasMA bahawa mereka akan menggerakkan satu usaha untuk menubuhkan parti baharu pula bagaimana.

“Itulah yang kita nampak dan tidak perlu melangkah jauh. Hanya selepas selesai sahaja Muktamar Pas yang menyaksikan golongan ulama menyapu bersih jawatan, PasMa terus mengorak langkah yang kita boleh jangkakan” katanya.

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) ?mengumumkan akan menggerakkan satu usaha bagi membolehkan sebuah parti baharu ditubuhkan.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, pada dasarnya PR sudah terkubur oleh itu satu parti baharu perlu ditubuhkan bagi menghidupkan semula PR.

Dan dilaporkan PasMa menegaskan parti baru yang akan ditubuhkan bagi membentuk satu Pakatan Rakyat Baru (PRB) tidak perlu mendapat sokongan daripada Pas.

Kata Datuk Phahrolrazi ini ekoran PRB yang akan ditubuhkan selepas Hari Raya Aidilfitri sekaligus akan menjelaskan kedudukan Pas yang sebenar. Sehubungan itu katanya, Pas sendiri akan terkeluar daripada PRB secara automatik.

Mengulas lebih lanjut Ustaz Reeza seterusnya melihat perkembangan mutakhir ini menunjukkan “ugutan“ PasMa kepada kepimpinan Pas sebelum Muktamar yang lalu akhirnya menjadi kenyataan.

“Kejayaan Pas memperkasakan kepimpinan Ulama menyebabkan PasMa bertindak sedemikian rupa. Saya percaya jika keadaan sebaliknya PasMa tidak akan mengorak dengan sejauh itu.

“Apa pun alasan yang dilontarkan dan apa jua yang dinukilkan, kita boleh lihat batang tubuh PasMa yang sebenarnya hari ini,“ katanya.