Eksport Produk Halal Ke 5 Negara RM16.1B

LEDANG 22 Jun – Nilai eksport produk halal negara ke lima buah negara mencatatkan RM16.1 bilion pada tahun lalu, dengan China mencatatkan eks­port tertinggi yang berjumlah RM4.6 bilion.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri berkata, antara produk halal dieksport ke China ialah produk pelbagai bahan sebanyak RM1.7 bilion, minyak kelapa sawit dan yang berkaitan dengannya (RM1.4 bilion).

imageKatanya, eksport halal ke China termasuk juga makanan dan minuman bernilai RM1.1 bilion, kosmetik dan penjagaan kesihatan serta industri kimia yang masing-masing berjumlah RM0.2 bilion.

“Kedua tertinggi ialah Singapura dengan nilai eksport RM3.6 bilion diikuti Amerika Syarikat (RM3.4 bi­lion), Indonesia (RM2.3 bilion) dan Jepun (RM2.2 bilion),” katanya selepas melawat Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan di sini semalam.

Dalam program itu, Hamim yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai kepada 30 penghuni pusat jagaan tersebut sempena Ramadan.

Beliau berkata, meskipun pencapaian itu amat positif, syarikat-syarikat di negara ini perlu memasarkan produk mereka dengan lebih luas kerana pasaran eksport halal dunia yang ditawarkan ketika ini bernilai RM7 trilion.

“Masih banyak peluang pemasaran produk halal ke negara lain di dunia yang boleh ditembusi dan kerajaan sedang giat membuat promosi memperkenalkan negara ini sebagai salah satu pengeluar produk halal,” katanya sambil memberitahu produk halal keluaran negara semakin mendapat permintaan terutamanya dari China.

Menurutnya, sempena lawatan ke China baru-baru ini, penduduk di sana mengakui sukar mendapatkan produk halal kerana penawarannya terhad, sedangkan negara itu mempunyai kira-kira 50 juta umat Islam.

“Ini satu jumlah yang besar ditambah lagi kesedaran mereka terhadap penggunaan produk halal semakin meningkat. Ini satu peluang yang besar dan pihak di China juga meminta kerajaan agar dapat mengeksport produk halal ke negara itu menerusi pertubuhan ataupun Majlis Dagang Islam Negeri China,” katanya.

Beliau berkata, usaha mempromosikan produk halal amat pen­ting kerana tanpa usaha tersebut pihak luar tidak akan mengetahui kewujudan produk tersebut yang usahakan negara serta untuk membelinya.

“Usaha ini untuk membolehkan mereka faham dan akhirnya membeli produk kita. Terdapat dua usaha dilakukan untuk meningkatkan kualiti produk halal di negara ini, iaitu dengan menjaga standard sijil halal dan menjamin keselamatan produk yang dihasilkan,” katanya. – Utusan