Perjuangan pembangkang bukan untuk rakyat

MUAR 21 Jun – Pergolakan pembangkang ketika ini terutama antara Pas dan DAP membuktikan kerapuhan gabungan mereka, sekali gus membuktikan tujuan sebenar hubungan itu hanya untuk merampas kuasa dan bukan perjuangan untuk rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, perkembangan tersebut perlu dinilai dan disedari rakyat kerana keutamaan mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan apa cara sekalipun.

DRI“Dalam kewujudan pakatan pembangkang mereka mengeluarkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain. Mereka kemaruk mahu merampas tampuk pemerintahan sahaja iaitu matlamat yang paling besar. Ini berbeza dengan BN yang ditubuhkan untuk memperjuangkan rakyat.

“Justeru, rakyat perlu membuat penilaian yang bijak dalam membuat sesuatu keputusan agar tidak tersilap percaturan dalam memilih pemimpin dan kerajaan,” katanya selepas melawat tapak Bazar Ramadan Pekan Baru Parit Yusuf, di sini hari ini.

Razali mengulas kemelut yang berlaku dalam gabungan pembangkang apabila Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng mendakwa gabungan pembangkang itu kini tidak lagi wujud selepas Pas memutuskan hubungan dengan DAP.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menafikan dakwaan Guan Eng, sebaliknya mendakwa pakatan pembangkang masih lagi wujud dan kerjasama dengan PKR masih diteruskan. – Utusan