Makmal Halal ?Dibina Di Nusajaya : Percepatkan Proses Beri Sijil Halal, Beroperasi Hujung Tahun

JOHOR BAHRU 21 Jun – Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah makmal analisis halal di Nusajaya yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, pembinaan makmal analisis halal yang turut dilengkapi de­ngan makmal kimia itu dilakukan dengan usahasama Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech).

image“Dengan adanya makmal ini, analisis halal bagi sesebuah produk dapat dilakukan dengan lebih cepat, iaitu dalam tempoh seminggu berbanding antara tiga hingga empat bulan ketika menggunakan makmal luar sebelum ini.

“Kewujudannya sekali gus dapat mempercepatkan lagi prosedur pemberian sijil halal bagi sesebuah produk yang diterima,” katanya di sini hari ini.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diminta mengkaji semula prosedur proses piagam pe­langgan sijil pengesahan halal (SPH) jabatan itu supaya tempoh penyelesaian permohonan sijil tersebut dapat dioptimumkan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, pengurusan pensijilan halal jabatan itu kurang memuaskan kera­na masih terdapat beberapa kelemahan termasuk bilangan pemegang SPH masih rendah berban­ding dengan syarikat yang mempunyai lesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, masa yang panjang diambil untuk memproses SPH menyebabkan permohonan lewat dibawa ke Mesyuarat Panel Pengesahan Halal bagi kelulusan dan pengeluaran sijil.
Laporan itu menyebut, Unit Pengurusan Halal, Bahagian Penyelidikan JAINJ diberi tanggungjawab untuk menguruskan permohonan persijilan halal di negeri ini. – Utusan