RM124,740 untuk 179 masjid, surau di Muar

MUAR 19 Jun – Sebanyak RM124,740 diperuntukkan untuk 33 masjid dan 146 surau di daerah ini untuk aktiviti sepanjang Ramadan kali ini dengan setiap masjid memperoleh RM500 manakala surau RM300 selain keperluan asas sebanyak RM360 untuk program moreh.

imageAhli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, bantuan barangan keperluan asas untuk moreh itu seperti gula dan kopi merupakan bantuan tahunan Pejabat Parlimen Muar sebagaimana bantuan untuk perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

“Kita percaya bantuan lain akan menyusul selepas ini daripada pihak swasta atau individu perseorangan yang biasanya mahu mengambil keberkatan dan kelebihan bulan ini untuk beramal dengan menghulurkan sumbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Organisasi Masjid dan Surau Parlimen Muar serta Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Ramadan di Masjid Jamek Parit Jamil, di sini hari ini.

Razali berkata, selain masjid dan surau, pihaknya turut menyalurkan sumbangan RM5,000 untuk sebuah gara iaitu rumah ibadat penganut Sikh di Jalan Mohmadiah yang membolehkan mereka menjalankan program keagamaan.

Sementara itu, beliau mahu rakyat menyokong kerajaan menjayakan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang mempunyai enam teras utama iaitu Inklusiviti, Kesejahteraan Rakyat, Modal Insan, Pertumbuhan Hijau, Infrastruktur serta Inovasi dan Produktiviti.

Teras itu, katanya, disokong enam pemacu perubahan merangkumi Meningkatkan Produktiviti, Menjana Kekayaan Melalui Inovasi, Mempertingkat Peratusan Masyarakat Kelas Menengah, Menteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal atau TVET, Melaksana Pertumbuhan Hijau dan Melabur di Bandar-bandar Berdaya Saing.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, apabila Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020 nanti, negara memerlukan 60 peratus tenaga kerja yang berkemahiran.

“Ketika ini kita hanya mampu melahirkan 27 peratus sahaja dan dalam tempoh lima tahun lagi negara memerlukan 60 peratus tenaga kerja berkemahiran. Justeru kita mahu rakyat tidak tercicir kerana kita tidak mahu tenaga kerja luar digunakan,” ujarnya. – Utusan