Karnival Pelancongan Desa Meriah

KOTA TINGGI 18 Jun – Suasana di Legaran Tanah Putih, Tanjung Sedili, dekat sini meriah apabila dibanjiri lebih 3,000 orang yang mengunjungi Karnival Pelancongan Desa baru-baru ini.

Pengerusi program, Mohd. Fai­zam Mohd. Sebalas berkata, selain kehadiran komuniti setempat, program itu turut menyediakan pelbagai gerai pameran oleh agensi kerajaan dan swasta serta jualan makanan dan minuman termasuk pertandingan memancing, futsal, mewarna, sukaneka dan senaman zumba.

ehsan - tg sedili“Berbanding tahun sebelumnya, buat pertama kali diadakan permainan Street Shuttle ciptaan anak tempatan yang dipertandingkan dan pada masa ini menjadi kegilaan golongan remaja di sini.

“Lebih menarik karnival ini bukan sahaja dikunjungi orang ramai, malah diserikan dengan penampilan istimewa dua artis terkenal ta­nah air, iaitu Ani Mayuni dan Erry Putera yang membuat persembahan pada malam kemuncak karnival tersebut,” katanya.

Mohd. Faizam memberitahu, karnival itu dianjurkan bertujuan merapatkan hubungan, seterusnya memberi pelbagai maklumat tentang aktiviti perniagaan, perkhidmatan dan pelancongan di kawasan setempat.

“Pengunjung bukan sahaja berpeluang menyertai pelbagai acara yang disediakan, malah yang paling utama membuka peluang dan ruang kepada masyarakat khususnya pengunjung mengenali Legaran Tanah Putih sebagai lokasi aktiviti pelancongan yang ada di sini de­ngan lebih dekat.

“Selain mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Bahagian Pelancongan, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), penganjuran kanival ini dibantu jawatankuasa Gerakan Desa Wawasan (GDW) Kampung Sentosa, Mini RTC Tanjung Sedili, GiatMara Tanjung Sedili, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Tinggi serta masyarakat,” katanya.
Karnival dua hari itu dirasmikan oleh Ahli Prlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid.

Yang turut hadir, Pengurus Bahagian Pelancongan Kejora, Rosli Salim; Penghulu Mukim Sedili Besar, Mohd. Aidil Masek dan Pengerusi GDW Kampung Sentosa, Mohd. Sebalas Mohamad. – Utusan