Johor Henti Eksport Ikan Ke Singapura

PAGOH 18 Jun – Johor menghentikan eksport lima jenis ikan ke Singapura bermula awal bulan ini hingga 31 Ogos untuk memastikan keperluan dan bekalannya mencukupi sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, ikan dilarang dieksport itu ialah kembong, selar, selayang, pari dan pelaling yang biasanya mendapat permintaan tinggi dalam bulan puasa.

image“Langkah ini untuk mengawal bekalan ikan dalam negeri ini agar tidak terjejas seperti ditetapkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Bekalan ayam tidak mempunyai masalah kerana bekalan kita cukup, malah berlebihan.

“Johor mengeluarkan daging ayam sebanyak 44,000 tan metrik sebulan dan jumlah ini melebihi keperluan penduduk di negeri ini termasuk dalam bulan puasa,”katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Kejohanan Sepak Takraw Berpasukan Tertutup Muar 2015 di Kompleks Sukan Pagoh, di sini semalam.

Ismail berkata, walaupun pengeluaran tinggi namun masih terdapat kekurangan bekalan di beberapa tempat dan keadaan itu sebenarnya berpunca daripada masalah pengedaran, pengagihan dan penghantaran.

Selain itu, bekalan habis dan permintaan tinggi di sesetengah tempat kerana peniaga membeli secara pukal dan pemborong harus menangani masalah itu supaya bekalan ayam mencukupi di semua tempat.

“Tidak munasabah bekalan ayam di Johor tidak cukup kerana kita merupakan pengeluar ayam daging utama dalam negara. Kita bukan sahaja menampung keperluan di negeri ini, malah di negeri lain termasuk eksport ke Singapura,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, Johor mengeksport 140,000 ekor ayam sehari ke Singapura daripada 250 ladang di seluruh negeri dengan pengeluaran berbeza-beza.

Mengenai bekalan daging pula, beliau berkata, negeri ini memerlukan 108 tan metrik kerana ke­perluan sepanjang Ramadan melonjak kepada 488 tan metrik, namun masalah itu sudah diatasi dengan mengimport 70 peratus daging beku dari India dan Australia.

“Orang ramai digalakkan ber­belanja di pasar tani kerana har­ganya lebih murah antara lima hingga 20 peratus berbanding tempat lain,”katanya. – Utusan