Kesepakatan Dalam BN Tidak Mampu Di Tiru – Jais Sarday

KLUANG, 18 Jun – Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Jais Sarday berkata, kesepakatan yang terdapat dalam Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik dan tidak mungkin digapai oleh pakatan lain.

Jelasnya, walaupun pakatan lain ditubuhkan selepas pembubaran pakatan pembangkang sediada namun tidak mungkin akan wujud kesepakatan dan keserasian seperti BN.

“BN yang terdiri daripada pelbagai bangsa saling menghormati antara satu sama lain. Masing-masing berpegang kepada perlembagaan sediada dan tidak pernah mempertikaikan perjuangan UMNO yang mahu memartabatkan agama Islam.

UMNOJOHOR-37-s“Ini kerana UMNO tidak pernah mengabaikan agama lain. Maka sebab itu tidak timbul isu rasis di dalam BN malah kami juga berkongsi kuasa.

“Memang tidak dinafikan adakala kami juga tergigit lidah dan berlainan pendapat namun semua itu diselesaikan secara baik. Ini amat jauh berbeza dengan pakatan pembangkang yang hanya bersepakat atas satu sebab iaitu mahu menjatuhkan kerajaan sediada,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Kerana itulah, pakatan pembangkang tidak mampu bertahan dan sering bertelagah sesama sendiri. Mereka juga tidak menghormati perjuangan rakan sekutu.

“Sejak awal penubuhan pakatan pembangkang sehinggalah mereka bakal menunggu masa untuk berpisah, mereka tidak berani untuk mendaftarkan gabungan yang telah dibuat. Kononnya gabungan mereka dulu untuk membela rakyat dan mereka lebih baik daripada BN.

“Tetapi hakikat sebenarnya mereka hanya sepakat untuk menjatuhkan BN khususnya UMNO yang menjadi tulang belakang pemerintahan Negara.

“Bila tujuan mereka itu sendiri sudah tidak betul maka sudah pasti tidak ada rasa hormat terhadap rakan sekutu. Dap tidak mahu menerima perjuangan Pas dan Pas pula tidak faham perjuangan Dap yang cuvenis,” katanya.

Oleh itu beliau amat berharap agar perpecahan pakatan pembangkang ini mampu membuka mata rakyat bahawa selama ini mereka hanya memperalatkan rakyat untuk mencapai agenda peribadi mereka.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, rakyat harus menolak mereka ini yang terbukti hanya mementingkan propaganda politik daripada melaksanakan amanah yang telah diberikan.