Kamarul Zaman Dilantik Ketua JSJ Johor

JOHOR BAHARU, 16 Jun — Senior Asisten Komisioner (SAC) Kamarul Zaman Mamat, 51, dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Bekas Ketua Polis Daerah Klang Selatan itu mengambil alih tugas tersebut daripada Datuk Hasnan Hassan yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Perak.

Majlis serah terima tugas antara Kamarul Zaman dan Hasnan disaksikan Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

11406151_1092472624113584_6174070020752737610_oKamarul Zaman, berasal dari Tanah Merah, Kelantan, memulakan perkhidmatan pada 1988 dan pernah bertugas di Cawangan Siasatan Jenayah sebagai Penolong Pengarah (D7B) Bukit Aman sejak 2007 hingga Januari 2014 sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan.

Pada majlis sama, turut menyaksikan pelantikan SAC Zamani Hamdan, 56, sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor (JPJKK) yang baharu menggantikan SAC Nor Azizan Anan, yang bersara April lepas.

Berasal dari Miri, Sarawak dan berkhidmat sejak 1978, Zamani merupakan Pengurus Keselamatan dan Kebombaan Lembaga Pelabuhan Bintulu, Sarawak, sejak 2011 sebelum bertukar ke kontinjen Johor manakala Mohamad merupakan Timbalan Ketua JPJKK kontinjen Pahang sejak Ogos 2014.

ACP Mohamad Laham, 56, pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kluang bagi menggantikan ACP Mohd Roze Shaari yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Sementara itu, Rusli, dalam ucapannya, berkata beliau percaya pemilihan ketua-ketua jabatan dan ketua polis daerah yang baharu itu adalah tepat berdasarkan latar belakang kerjaya dan pengalaman yang dimiliki masing-masing.

Beliau berkata seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan sepenuh kepercayaan dan harapan kepada pegawai baharu yang dilantik untuk mentadbir dalam mencapai amanat kerajaan ke arah bebas daripada ancaman jenayah.

“Terima kasih turut diucapkan kepada Hasnan yang memberikan komitmen tidak berbelah bahagi dalam membantu kecemerlangan kontinjen Johor sehingga berjaya menurunkan kadar jenayah selama tujuh tahun berturut-turut,” katanya.