Skuad Sayang Gempur Kawasan Denggi

PAGOH 16 Jun – Wanita UMNO Bahagian Pagoh menerusi Skuad Sa­yang menggempur empat kawasan di daerah ini yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes menerusi Program Membara dan Gotong-Royong Perdana Peringkat Parlimen Pagoh.

Ketuanya, Senator Datuk Noriah Mahat berkata, tumpuan utama diberikan kepada Kampung Jasa, Taman Pagoh Jaya, Kampung Parit Raja dan Kampung Bukit Pasir yang mencatatkan peningkatan kes demam denggi di daerah ini.

image“Inisiatif ini dilakukan untuk membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes yang menjadi penyebab utama peningkatan kes demam denggi di Muar sejak akhir-akhir ini. Kita tidak mahu masalah denggi menjadi lebih serius.

“Walaupun kes denggi masih dikategorikan sebagai tidak serius, perkara ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita terus berpeluk tubuh,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program itu di Taman Pagoh Jaya, di sini semalam.

Program tersebut yang mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Jawatankuasa Persatuan Penduduk Setempat Taman Pagoh Jaya dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Penularan wabak denggi di Muar termasuk daerah ini semakin membimbangkan apabila 47 kes denggi dilaporkan dari Januari hingga April lalu dengan satu kes melibatkan kematian.

Noriah yang juga Naib Ketua Wanita UMNO negeri berkata, penduduk setempat perlu peka sebelum penyakit yang boleh membunuh itu merebak dan menerusi program tersebut pihaknya akan memastikan aspek kebersihan menjadi keutamaan.

“Penduduk perlu mengubah cara hidup dengan memastikan kebersihan sentiasa menjadi keutamaan selain pemeriksaan di tong atau bekas air di rumah perlu dilakukan setiap masa untuk mengelak nyamuk aedes membiak.

Terdahulu, Noriah dan Shahruddin yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pagoh bersama ahli Wanita UMNO Pagoh meluangkan masa menziarahi lima golongan kurang bernasib baik di Kampung Jasa dan Taman Pagoh Jaya.

Ahli Dewan Negara itu berkata, mereka menyumbangkan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada penerima yang merupakan warga emas, kanak-kanak yang menghidap penyakit dan orang kurang upaya.