Siapkan Rumah Ikut Jadual – Peringatan SPNB Kepada Kontraktor RMR

PONTIAN 15 Jun – Kontraktor yang ditawarkan untuk membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) diingatkan menyiapkan projek tersebut dalam tempoh yang ditetapkan atau akan disenaraihitamkan jika gagal melaksanakan tugas tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Mastura Azlina Mohammad berkata, pada masa ini kira-kira 9,000 kontraktor kelas F di seluruh negara telah berdaftar dengan SPNB bagi membolehkan mereka ditawarkan kerja-kerja membina RMR.

image-1Beliau berkata, tempoh pembinaan bagi setiap rumah RMR yang mempunyai tiga buah bilik dan dua bilik air itu antara tiga hingga enam minggu.

“Memandangkan RMR diwujudkan bertujuan membantu golongan yang berpendapatan rendah dan tidak memiliki rumah, kontraktor perlu melaksanakannya mengikut tempoh yang ditetapka tanpa menjejaskan kualiti pembinaan.

“Mereka yang diberikan tawaran membina RMR merupakan kontraktor yang mempunyai rekod kerja yang baik dan mampu menyiapkan rumah tersebut dengan sempurna dan memuaskan pemiliknya,” katanya selepas majlis penyerahan tawaran kerja bagi pembinaan 11 RMR bagi kawasan Parlimen Pontian kepada enam kontraktor tempatan di Komplek Usahawan Pontian, di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan. Yang turut hadir Pegawai Daerah Pontian, Kamaruddin Abdullah.

Mastura berkata, pada tahun ini sebanyak 19,430 permohonan kepada SPNB untuk menyertai projek tersebut yang berharga RM65,000 seunit dengan RM20,000 diberikan subsidi oleh Kerajaan Pusat.

Menurutnya, sebanyak 479 permohonan RMR diterima bagi Parlimen Pontian bagi tempoh 2002–2015 dengan 158 permohonan telah ditolak antaranya atas sebab kelayakan pemohon dan pemilikan tanah.

Sebanyak 199 RMR telah diluluskan pembinaanya dengan 185 buah telah siap dibina, manakala 14 lagi masih dalam pembinaan dan diharap dapat disiapkan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. – Utusan