Cabaran Negara Tangani Ketaksamaan Dalam Pelbagai Aspek – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Cabaran besar yang dihadapi Malaysia pada tahun-tahun akan datang adalah bagi menangani ketaksamaan yang wujud dalam pelbagai aspek antaranya intra etnik, antara etnik dan jurang antara bandar dan luar bandar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, turut menjadi cabaran adalah perjawatan korporat serta jurang antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

FW401060_KL18_170615_TPM_FORM6-e1434528414812“Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam menangani ketaksamaan pada hari ini adalah jauh lebih rumit berbanding menstruktur semula masyarakat pada tahun 1970-an.

“Ini kerana arus liberalisasi ekonomi dan pasaran terbuka sudah pasti menjadi halangan utama kerajaan dalam melaksanakan sebarang tindakan afirmatif untuk membantu golongan yang terpinggir,” katanya dalam ucapan penutup Sidang Kemuncak Ekonomi Melayu 2015 anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di sini, hari ini.

Sidang itu menghimpunkan pakar-pakar ekonomi, ahli dewan perniagaan Melayu dan aktivis badan bukan kerajaan ekonomi Melayu, bagi menentukan hala tuju ekonomi Melayu dalam negara, selain mencadangkan polisi, intervensi dan inisiatif dalam memperkasakan ekonomi Melayu.

Beliau turut memetik beberapa isi kandungan laporan MTEM yang memerlukan perhatian segera dan serius daripada kerajaan, antaranya jurang pendapatan isi rumah di Malaysia.

“Ia adalah antara yang tertinggi di mana kumpulan 20 peratus tertinggi bagi sesuatu kaum mempunyai pendapatan RM15,254 berbanding kumpulan terbawah dalam kaum yang sama berpendapatan RM1,686, iaitu hampir 10 kali ganda lebih rendah,” katanya.

Kata timbalan perdana menteri laporan MTEM juga mendedahkan jurang pendapatan antara Melayu dan satu kaum lain juga meningkat 10 kali ganda daripada RM2,600 pada 1970 kepada RM23,000 pada tahun 2012.

“Selain itu masyarakat luar bandar yang majoritinya bumiputera secara puratanya hanya menerima 60 peratus gaji masyarakat bandar. Malahan, ketaksamaan antara pegawai rendah sebuah syarikat dengan gaji ketua pegawai eksekutif dan pengurusan kanan syarikat di Malaysia adalah antara 90 hingga 300 kali ganda,” kata beliau.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Muhyiddin meminta agar semua pihak tidak patah semangat kerana agenda memperkasa ekonomi Melayu dan Bumiputera serta membela masyarakat yang terpinggir tanpa mengira kaum akan diteruskan.