Koperasi Lonjak Ekonomi Melayu

SEGAMAT 14 Jun – Koperasi bukan sekadar platform terbaik untuk mengumpul dana bertujuan penglibatan dalam aktiviti perniagaan yang mampu meningkatkan ekonomi orang Melayu, sebaliknya sebagai satu badan yang dapat meningkatkan pegangan hartanah orang Melayu di negeri ini.image-3

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, koperasi yang diuruskan dengan baik dan mengamalkan budaya keusahawanan mampu berjaya dalam sektor ekonomi setanding pihak swasta sekali gus dapat menjulang ekonomi orang Melayu.

“Pemimpin koperasi tidak boleh bersifat pasif serta hanya berfikir untuk terlibat dalam perniagaan kecil semata-mata, sebaliknya mereka harus lebih berani dan aktif meneroka bidang baharu dalam skala secara langsung yang lebih besar dan menguntungkan.

“Mereka harus mencontohi pengurusan yang diamalkan oleh koperasi negara luar sehingga mampu menguasai syarikat besar dan menjadi pemain ekonomi yang juga berupaya meningkatkan ekonomi rakyat melalui pelbagai aktiviti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Tahunan Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) Berhad kali ke-20 di sini, semalam. Teks ucapannya dibacakan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Johor, Muriddan Elias.

UMNOJOHOR-33-sMenurut Mohamed Khaled, masa depan yang semakin mencabar memerlukan pemimpin kira-kira 1,200 koperasi dengan jumlah ahli yang hampir mencecah 9,000 ahli di negeri ini menyediakan kerangka tindakan hala tuju koperasi jika tidak mahu ketinggalan dan terpinggir.

Kata beliau, peranan ahli koperasi tidak terbatas kepada sumbangan modal dalam bentuk kewangan semata-mata malah perlu menyumbang buah fikiran serta idea bernas dalam usaha memperkasa koperasi.

Koperasi juga, katanya, perlu lebih efektif untuk berfungsi sebagai satu instrumen yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti ekonomi yang mereka ceburi.

“Dasar Koperasi Kebangsaan menyasarkan sumbangan koperasi kepada pendapatan negara secara keseluruhan menjelang tahun 2020 adalah sebanyak RM50 bilion setahun dan pada tahun lepas kemampuan koperasi adalah sejumlah RM34.9 bilion.

“Sehubungan itu saya harap semua koperasi yang terdapat di negeri ini turut memainkan peranan untuk mencapai sasaran tersebut dengan melibatkan ganda usaha mereka menceburi pelbagai bidang baru yang terbuka luas seperti pelaburan serta industri minyak dan gas yang terdapat di negeri ini,” katanya. – Utusan