Jangan ikut ‘rentak’ pihak tohmah PM – Hishammuddin

KLUANG 13 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta rakyat agar tidak mengikut ‘rentak’ pihak tidak bertanggungjawab yang sentiasa melempar tohmahan terhadap ke­pemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan.

Beliau berkata, k­erajaan sedang be­r­usaha memperbaiki prestasi dan men­jawab setiap tuduhan yang dilontarkan dengan cara tersendiri.11390306_10153126042099355_2911280301320168857_n

“Isu ini banyak bergantung kepada perkara dan siapa yang meluahkan tuduhan itu. Kalau sekiranya ia datang dari dalaman, biar kita selesai secara dalaman, tetapi sekiranya dibangkit oleh pembangkang, itu memang sudah menjadi kerja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga Felda di Felda Kahang Timur, di sini, hari ini bagi mengulas kritikan dilemparkan pelbagai pihak terhadap kepimpinan Najib dan kerajaan.

Sambil menyatakan kerajaan masih mempunyai masa dan ruang untuk memperbaiki prestasi dan kelemahan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang, beliau berkata rakyat sepatutnya menilai setiap usaha yang dilakukan kerajaan dalam membantu rakyat.

Sementara itu, mengulas me­ngenai kejadian gempa bumi terbaru berukuran 5.1 skala Richter di Ranau, Sabah pada 2.29 pagi tadi, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga dengan telah memberikan bantuan sejak hari pertama berlakunya gempa bumi di Sabah pada 5 Jun lepas.

“Kami (ATM) senantiasa bersiap siaga tetapi semua maklum apa yang kami lakukan adalah di bawah arahan MKN (Majlis Keselamatan Negara), jadi kami tunggu arahan mereka (MKN) mengenai apa keperluan yang patut dibantu,” katanya.

UMNOJOHOR-32-sBeliau berkata ATM juga sentiasa bersemangat tinggi dalam membantu gerakan menyelamat walaupun keadaan berisiko selain dalam keadaan ke­rap berlakunya gempa susulan.

Bagi keperluan jangka sederhana dan jangka panjang, ATM menerusi Kor Jurutera Diraja dan kerajaan negeri Sabah akan membantu membaik pulih rumah yang rosak dan infrastruktur lain termasuk jalan raya dalam kejadian gempa bumi itu, katanya.

Pada 5 Jun lepas, gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter, yang terkuat di Malaysia setakat ini, menggegarkan Sabah pada pukul 7.15 pagi, yang mencetuskan gegaran di beberapa tempat di negeri itu serta menyebabkan batu dan bongkah mengelungsur jatuh dari Gunung Kinabalu.

Lapan belas orang – empat malim gunung dan 14 pendaki – terbunuh dalam gempa bumi itu, 10 daripada mereka dari Singapura, enam rak­yat Malaysia, seorang dari Jepun dan seorang warga China.

Mengenai perjumpaan dengan warga Felda itu, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, penjelasan dan jawapan berhubung pelbagai isu mengenai Felda dan masalah berbangkit yang dihadapi penduduk sekitar akan diberikan secara berterusan.

“Pelbagai isu boleh ditangani sekiranya masyarakat Felda, pe­mimpin politik serta pengurusan Felda sentiasa bekerjasama rapat dalam menangani setiap masalah. Setiap kawasan ada isu yang berbeza.

“Selain memberi penjelasan berhubung isu saham Felda Global Venture Holdings Bhd. (FGV), perumahan generasi ketiga peneroka dan hak milik tanah, kita juga ber­usaha menangani masalah sera­ngan gajah liar di empat Felda di kawasan Sembrong serta masalah infrastruktur,” katanya.

Dalam majlis itu, Hishammuddin turut menyaksikan penyampaian memorandum Permasalahan Felda Parlimen Semberong daripada Pengerusi Biro Fokus Felda Sembrong, Hamzah Kuani kepada Pe­ngarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada.