Drama Pas VS Dap… Siapa Yang Bakal Terkeluar – Azhar

KUALA LUMPUR 12 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohamad Azahar Ibrahim  melihat drama siapa patut keluar daripada gabungan pembangkang antara Pas dengan sekutunya Dap bakal menjadi parah dan kronik.

UMNOJOHOR-36-sIni kerana ujar beliau masing-masing bertegas dengan hujah serta pandangan tersendiri bagi mengekalkan kedudukan masing-masing di dalam gabungan pembangkang yang terdiri daripada Pas, Dap dan PKR.

“Jika sebelum ini pertembungan antara Pas dengan Dap suam-suam kuku, namun hari ini nampaknya situasi antara kedua parti berkenaan bakal menjadi lebih kronik dan makin parah.

“Kecaman demi kecaman dan serangan antara satu sama lain antara dua sekutu terbabit menujukkan mereka masing-masing mahu menujukkan kekuatan antara satu dengan yang lain.

“Cumanya siapa yang patut keluar atau siapa yang patut ditendang keluar menjadi persoalan utama. Masing-masing dilihat ada pandangan tersendiri untuk terus berada di dalam gabungan pembangkang. Dap dengan hujahnya manakala Pas pula dengan alasan mereka,” katanya, di sini, hari ini.

Hubungan antara Pas dengan Dap makin kemuncak pertembungannya setelah masing-masing saling melontarkan pandangan dan kritikan setelah tamatnya Muktamar Pas minggu lalu.

Hari ini dilaporkan Pas sekali lagi mencabar parti sekutunya DAP untuk mengisytiharkan secara terbuka memutuskan kerjasama antara mereka secara rasmi, sama seperti apa yang dilakukan parti Islam itu.

Ketua Pemuda Pas yang baharu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendakwa DAP tidak berani membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama apabila dilihat sering kali menekan parti Islam itu.

Rabu lepas, Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan Dap dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Eskoran itu, DAP menerusi setiausaha agungnya, Lim Guan Eng mengalu-alukan peletakan jawatan wakil Pas dalam kerajaan Pulau Pinang dan menimbulkan pelbagai polemik yang tidak menentu di negeri Selangor.

Pengerusi Dap Selangor, Tony Pua pula dilapor berkata PKR tidak mempunyai pilihan sama ada membuat keputusan menyokong Dap atau memilih untuk bekerjasama dengan Pas dalam pentadbiran negeri Selangor.

Azhar yang juga Ketua UMNO Labis seterusnya menambah kemelut berkenaan dijangka akan terus berpanjangan dan rakyat boleh melihat siapakah ‘jantan’ sebenar dalam pertembungan tersebut.

“Kita tengoklah nanti…siapa ‘jantan’ dalam episod siapa patut keluar daripada gabungan pembangkang. Kalau Pas nak kata dia berhak berada di dalam pakatan pembangkang dan Dap keluar, Dap juga tentunya berhak berkata demikian. Kita tunggulah nanti,” katanya.