Puteri Johor Atur Pelbagai Gerak Kerja Bagi Pastikan Sokongan Golongan Muda Terus Bersama UMNO

PAGOH, 6 Jun – Ketua Puteri UMNO Johor, Rohaizah Ahmad berkata, Puteri Johor akan terus bekerja keras bagi memastikan UMNO terus relevan di hati golongan muda seterusnya memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ujarnya, bagi memastikan golongan muda terus memilih UMNO maka pelbagai gerak kerja telah diatur termasuklah membuka kaunter pendaftaran ahli dan pengundi setiap bulan di semua bahagian.

11154938_10206844627178935_1919895778227331553_o-1“Kita mahu Puteri UMNO dilihat sebagai sayap yang turut memainkan peranan dalam kejayaan parti. Selain itu, Puteri juga mahu turut membantu memperbaiki keyakinan golongan muda terhadap perjuangan parti iaitu membela rakyat.

“Ini kerana golongan mudalah yang bakal mencorak masa hadapan Negara. Ini juga merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh Puteri tetapi kita yakin golongan muda di Johor masih bersama UMNO dan BN,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Selain itu tambah Rohaizah, tahun ini setakat bulan Mei, Puteri Johor telah berjaya menambah pengundi baru melebihi dua ribu orang.

Malah laman sosial Puteri Johor juga sering dihujani dengan soalan bagaimana mahu menjadi ahli Puteri.

“Sedikit sebanyak ini memberi gambaran bahawa anak muda Johor masih memberi sokongan kepada kita.

“Maka, usaha perlu diteruskan agar sokongan ini berkekalan seterusnya bertambah agar PRU-14 menjadi saksi sokongan kepada parti semakin bertambah,” ujarnya.