Penubuhan YPG selari slogan Muafakat Untuk Johor

PASIR GUDANG 6 Jun – Penubuhan Yayasan Pasir Gudang (YPG) selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara masyarakat melalui pelbagai bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

imageMenteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif penubuhan yayasan itu juga selari dengan slogan Muafakat Untuk Johor, yang bermaksud menjadikan rakyat negeri ini lebih bersifat membantu sesama sendiri.

Katanya, secara tidak langsung yayasan tersebut juga menjadi penghubung dan saluran semangat setiakawan antara kerajaan, pihak yang memberi sumbangan serta golongan yang memerlukan bantuan.

“Yayasan ini merupakan satu platform untuk menyumbang dan memberi semula kepada masyarakat dengan memainkan peranan seiring dengan kemampuan masing-masing.

“Golongan hartawan dengan wang ringgit, masyarakat awam dengan penganjuran program, golongan muda sebagai sukarelawan selain wartawan untuk tujuan hebahan,” katanya dalam Majlis Makan Malam Amal dan Pelancaran YPG, di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Md. Za’nal Misran.

Sejak penubuhannya pada Oktober 2013, yayasan itu berjaya mengumpul dana melebihi RM2 juta yang bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik di kawasan pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah penubuhan pusat tuisyen komuniti, program Online Learning selain seminar kecemerlangan membabitkan pelajar sekolah sekitar Pasir Gudang.

Sementara itu, Md. Za’nal memberitahu, pihaknya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi mendukung hasrat kerajaan negeri dalam memastikan golongan yang layak mendapat bantuan sewajarnya.

“MPPG akan memainkan peranan utama dalam memastikan bantuan daripada pihak kerajaan dan pen­yumbang disalurkan kepada golongan memerlukan di kawasan ini,” ujarnya. – Utusan