Ribut lima minit bawa kemusnahan RM2.04j

KLUANG 3 Jun – Taksiran awal jumlah kerugian harta benda dan kerosakan akibat bencana ribut dan angin kencang yang melanda lapan taman perumahan di daerah ini petang semalam, dianggarkan seba­nyak RM2.04 juta.

Antara taman yang terlibat ialah Taman Indah Jaya 1 dan 2, Taman Korakyat, Taman Ilham, Taman Bertuah, Taman Dato Amar Diraja, Taman Sri Paya dan Taman Matahari dengan jumlah mangsa sebanyak 266 keluarga.

image-2Pengerusi Jawatankuasa Pendi­dikan, Penerangan, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi ne­geri, Md. Jais Sarday berkata, bagi membantu mereka yang terlibat, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk baik pulih kediaman yang rosak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota berkata, Majlis Agama Islam Ne­geri Johor daerah Kluang juga memutuskan peruntukan sebanyak RM600,000 melalui wang zakat kepada seluruh mangsa yang ber­agama Islam.

“Saya difahamkan, bencana ini ber­laku dalam masa lima minit sahaja, namun sehingga kini, melalui pusat gerakan bencana yang dibuka sejak malam semalam melaporkan jumlah kerugian mencecah RM2.04 juta.

“Selain itu, kita kini sedang menyiapkan kertas laporan secepat mungkin kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memboleh­kan mangsa memohon bantuan melalui Tabung Kesejahteraan Ban­dar,” katanya selepas lawatan ke kawasan bencana di Taman Indah Jaya, di sini hari ini.
Md. Jais turut menyifatkan kejadian ribut itu adalah yang terburuk dalam sejarah daerah ini dan berharap agar semua mang­sa dapat bersabar dengan dugaan yang menimpa serta sentiasa memberi kerjasama kepada agensi yang terlibat.

Sementara itu, seorang mangsa, Malek Saif, 60, berkata, ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu dia dan isteri serta seorang anak lelakinya sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi bising di atas bumbung rumah selain hujan lebat.
“Ketika itu, hujan le­bat luar biasa diikuti de­ngan bunyi bising di luar rumah. Saya meninjau keadaan di luar rumah dan melihat seakan-akan angin putih diikuti dengan atap zink dan bumbung rumah yang melambung tinggi di udara.

“Waktu itu saya sungguh takut dan hanya ingat mati. Saya laungkan Allahuakbar sebelum membawa isteri dan anak saya yang sedang kebingungan di dalam rumah masuk ke dalam bilik untuk menyelamatkan diri,” katanya yang menetap di Taman Indah Jaya.

Seorang lagi mangsa, Mahari Ahmad, 46, yang turut menyaksikan kejadian tersebut berkata, dia hanya mampu terpaku sambil melaungkan azan agar tiada sebarang kejadian buruk berlaku.
“Ketika melihat angin yang kuat datang ke arah kami, saya azan dan berdoa agar segalanya dipermudahkan. Alhamdulillah, walaupun me­ngalami kerosakan teruk pada bahagian rumah dan kenderaan, namun kami sekeluarga selamat,” katanya.- Utusan