22 Laporan Polis Buat Bantahan

JOHOR BAHRU 2 Jun – Polis menerima 22 laporan daripada pelbagai pihak yang membantah penganjuran program dipercayai berunsur keagamaan yang dijadualkan berlangsung di tiga lokasi di negeri ini.

Difahamkan program tersebut ialah MforJ2015 Take Possession of The Land Kingdom Conference, Festival of God’s Power dan Church Family Camp 2015.

image-1Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad berkata, lima laporan polis dibuat di daerah Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara (lima), Kluang (tiga), Segamat (enam), Mer­sing (satu) dan Kota Tinggi (dua).

Beliau berkata, sehingga pukul 5.30 petang ini, 12 laporan dibuat pertubuhan politik, manakala baki 10 laporan dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO).

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, penganjuran di dua lokasi iaitu di Mersing dan daerah Johor Bahru Utara telah dibatalkan.

“Namun begitu, pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung penganjuran dan klip video itu selain bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Johor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Rusli, penganjuran di sebuah hotel di bandar raya ini pula akan diteruskan buat masa ini kerana mendapat kebenaran pihak hotel atas faktor dilakukan secara tertutup di dalam bangunan.
“Biarpun begitu, polis sudah memberikan nasihat kepada penganjur supaya ia tidak melampaui batas dan bertentangan dengan undang-undang yang digariskan,” katanya.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Tebrau turut membuat laporan berhubung penganjuran program tersebut di Balai Polis Dato Onn pada pukul 2.57 petang.

Ketua Pergerakannya, Syahrin Md. Jamaludin berkata, pihaknya supaya penganjur lebih berhati-hati dengan setiap penganjuran program yang ingin mereka lakukan.

“Kita harap pihak penganjur ubah suai pelaksanaan program supaya jangan sampai program yang nak dibuat itu mengganggu gugat keharmonian agama lain dan rakyat Johor.

“Kita juga desak pihak berkuasa tempatan yang memberi permit penganjuran supaya lebih teliti sebelum memberi kebenaran. Jangan sesekali menggunakan isu-isu sensitif dan diprovokasikan,” katanya.