Tiada Lagi Alasan Tidak Turun Harga Barang Atau Berdepan Tindakan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Tiada lagi alasan bekalan lama belum habis menyebabkan harga barang tidak diturunkan. Jika tidak, bersedia untuk berhadapan dengan hukuman.

Ujar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ketika mengulas berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang hari ini genap dua bulan dilaksanakan.

Jelasnya lagi, sejak GST dilaksanakan masalah utama yang dihadapi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) khasnya dan Kastam adalah berhadapan dengan para peniaga yang degil dan tidak beretika.

FW390783_KL24_040415_GST-e1428154931809“Mereka bukan sahaja tidak menurunkan harga barang malah mengenakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST ) 10 peratus ditambah cukai GST enam peratus menjadikan ianya 16 peratus.

“Ini amat membebankan rakyat. Sepatutnya harga menjadi lebih rendah tetapi kerana mereka ini degil maka kita akan mula bertindak.

“Untuk pengetahuan, 815 kes telah disediakan kertas siasatan oleh KPDNKK, 44 kes sedang dibawa ke mahkamah, 203 kes sudah disiapkan kertas siasatan dan tiga kes sudah dibawa ke mahkamah,” ujarnya.

Ahmad turut menafikan dakwaan kononnya hasil daripada kutipan GST ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan hutang tertentu.

“Rakyat jangan mudah terpengaruh dengan propaganda politik mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan di atas isu GST ini. Hasil GST ini akan dikembalikan kepada rakyat juga. Bukannya untuk menyelesaikan sebarang hutang,” tegasnya.