RMK 11 : Kerajaan BN Bukan Sekadar Bentangkan Kertas Kosong

JOHOR BAHRU, 2 Jun – Dengan tema ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ bagi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), ia bukan kertas kosong, bukan rekaan tetapi ia dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat sebagai komitmen berdasarkan bukti-bukti yang telah diperlihatkan di dalam rekod kecemerlangan di dalam mentadbir dan mengurus negara, ujar Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Norrulhuda Marsidin.

Rancangan-Malaysia-KeSebelas-RMK11

Malahan menurut beliau lagi, jika diperhalusi semua dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan, ianya fokus kepada mencapai status negara maju terutamanya matlamat Wawasan 2020 yang telah diperkenalkan pada tahun 1991, yang pastinya untuk kemakmuran negara, kesejahteraan dan kepentingan rakyat.

“Kita dapat lihat, bagaimana pada peringkat awal dahulu kerajaan mewujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau lebih dikenali dengan nama FELDA (Federal Land Development Authority) yang kini menjadi model pembangunan luar bandar.

“Kemudian, muncul pula Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang keusahawanan,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah beliau lagi, begitu juga dengan kewujudan tiga pembangunan wilayah ekonomi Koridor Utara, Timur dan Iskandar di bawah RMK9 yang membuka peluang perusahaan, perdagangan dan pekerjaan yang meluas kepada rakyat.

“Sebab itu bagi saya, perkara utama bagi kejayaan sesebuah negara adalah membasmi kemiskinan, dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 adalah faktor utamanya.

“Kerajaan telah berjaya mengurangkan kemiskinan tegar daripada 5.2 peratus pada tahun 1990 kepada 1.9 peratus pada 1999; turun kepada 0.7 peratus pada 2007, 2012 pada kadar 0.2 peratus dan kini tiada lagi kemiskinan tegar.

“Kadar kemiskinan pula telah berkurang daripada 49.3% pada tahun 1970 kepada 0.6% pada tahun 2014,” katanya.

“Inilah bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengubah landskap sosio-ekonomi kehidupan rakyatnya dengan pelbagai usaha, perancangan yang berkesan serta dasar yang menjurus kepada kemakmuran rakyatnya, ujar Ketua Puteri UMNO Bahagian Labis itu.

Kini, dengan enam teras strategik yang dibentangkan, RMK11 bukan sahaja ditumpukan kepada pembangunan ekonomi dalam usaha menjadikan Malaysia negara maju tetapi juga fokus kepada kesejahteraan rakyat dari segi pendapatan, kesihatan, persekitaran hidup yang harmoni dan perpaduan nasional, tambah beliau.

Enam teras strategik tersebut meliputi perkara-perkara seperti memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama, meningkatkan kesejahteraan rakyat, meningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju, menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampuan dan daya tahan, memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran.

“Walaupun begitu, cabaran utama dan menjadi fokus kerajaan kini adalah untuk meningkatkan taraf isi rumah B40 ke arah masyarakat menengah.

“Adalah diharapkan agar usaha-usaha yang sedang dilaksanakan dan pendekatan-pendekatan yang akan diperkenalkan kerajaan mampu direalisasikan dengan sokongan serta dokongan daripada kumpulan sasaran.

“Ini tidak lain dan tidak bukan adalah bukti komitmen BN untuk meningkatkan taraf hidup dan kemajuan ekonomi masyarakat di negara ini,” tambah Norrulhuda lagi.

Isi rumah B40 adalah merujuk kepada isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah daripada taburan pendapatan dengan purata pendapatan RM2,537 pada 2014.

Beliau turut memuji langkah kerajaan yang bersikap realistik apabila buat pertama kali sasaran pertumbuhan negara bukan sahaja akan diukur berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan per kapita, tetapi juga mengambil kira pendapatan isi rumah dan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

 

Sumber: UMNO-Online