Program Dialog ‘Nothing To Hide’ Bersama PM Akan Perjelas Isu-Isu Negara

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) akan menganjurkan program Dialog Perdana Menteri Bersama NGO pada 5 Jun ini bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula jam 9 pagi sehingga jam 12 tengahari.

Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, objektif utama program ini adalah untuk memperjelaskan isu-isu semasa negara kepada rakyat secara langsung oleh Perdana Menteri.

IMG_5776“Kami berharap agar program ini dapat merungkai persoalan serta mampu untuk memperbetulkan persepsi rakyat berkenaan isu-isu yang timbul berhubung kait dengan pentadbiran kerajaan.

“Adalah tidak adil jika rakyat hanya mempercayai sesuatu isu tersebut dengan berdasarkan maklumat dari sebelah pihak saja dan diharapkan program ini dapat menjadi platfom penjelasan serta mengeratkan lagi hubungan NGO dengan kerajaan,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di pejabat SukaGuam bertempat di Wangsa Maju hari ini.

Tambah beliau, program ini akan diadakan secara sesi soal jawab di mana perwakilan daripada NGO yang hadir berpeluang untuk mengemukakan sebarang persoalan khususnya berhubung isu-isu semasa tanahair secara terus kepada Perdana Menteri, selari dengan tema program iaitu ‘Nothing To Hide’.

“Kita memilih tema ‘Nothing To Hide’ ini adalah untuk memperlihatkan bahawa kerajaan sentiasa bersikap telus dalam menjawab segala persoalan tentang apa juga isu-isu negara termasuk isu 1MDB, GST dan sebagainya. Tidak ada apa yang mahu kerajaan sorokkan dari pengetahuan rakyat.

“Harapan kita melalui program sesi soal jawab ini mampu untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan melalui segala jawapan yang diberikan oleh PM yang akan menjawab persoalan-persoalan daripada wakil-wakil NGO yang hadir,” kata Khairul lagi.

Tambahnya lagi, program ini merupakan sebuah program terbuka dan boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja pun.

“Setakat ini kita telah menjemput seramai 1500 orang daripada pelbagai latar belakang pertubuhan. Kita juga akan menghantar surat jemputan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir untuk menghadiri program ini.

“SukaGuam menganjurkan program ini selaras dengan latar belakang kita sebagai NGO yang berasaskan undang-undang dan kita ingin berikan peluang melalui dialog ini agar kedua-dua pihak yang mewakili rakyat dan kerajaan untuk berbincang dan serta memberikan hujah masing-masing.

“Sekiraya program ini berjaya dan mendapat sambutan yang memberansangkan, kita merancang untuk menganjurkan program yang sama ke seluruh pelusuk negeri yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri,” jelasnya.

 

Sumber- UMNO-Online