Johor Perlu 2,600 Kakitangan Kesihatan

JOHOR BAHRU 2 Jun – Johor memerlukan kira-kira 2,600 kakitangan profesional dan sokongan bagi menampung keperluan mendesak di Jabatan Kesihatan khususnya di 12 hospital awam di negeri ini yang mengalami kekurangan kakitangan di pelbagai peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat berkata, kekurangan tersebut menjejaskan keberkesanan perkhidmatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diharap tidak membekukan pengambilan kakitangan diperlukan.

image“Ia boleh menimbulkan persepsi kurang sihat dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh masalah kritikal di Hospital Sultan Ismail di mana kekurangan 200 doktor menjejaskan program atau kaedah perubatan baharu yang diperkenalkan.

“Ketiadaan doktor pakar dalam sesuatu bidang mendorong pihak pengurusan hospital menggunakan doktor sedia ada yang secara langsung menyebabkan lebihan tekanan kerana terpaksa merawat jumlah pesakit berlebihan,” kata­nya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 Jabatan Kesihatan Johor di Persada Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mohd Khairi Yakub.

Pada majlis itu, seramai 1,759 daripada 22,401 kakitangan Jabatan Kesihatan negeri menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun ini.

Menurut Ayub, sepanjang tahun lalu sebanyak 2.5 juta pesakit diberikan perkhidmatan kesihatan berbanding 163 kes aduan kesihatan direkodkan sekali gus menggambarkan keberkesanan tinggi yang membanggakan.

Dalam perkembangan lain, beliau meletakkan sasaran 6,000 ujian saringan dilakukan terhadap kakitangan awam di negeri ini dalam tahun ini di mana setakat ini tiga peratus daripada mereka yang di­saring didapati positif dadah.

“Justeru, kita menasihatkan supaya kakitangan terbabit tampil untuk melakukan ujian berkenaan secara sukarela dengan Jabatan Kesihatan berdekatan kerana rahsia dan butiran tidak akan didedahkan kepada umum atau dikenakan tindakan tatatertib,” katanya – Utusan