Elaun Tambahan Kepada Penyelia dan Petugas PDK Di Johor

JOHOR BAHRU, 1 Jun – Kerajaan negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM1,034,400.00 bagi tujuan pembayaran tambahan elaun kepada 431 orang penyelia dan petugas Pusat Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri Johor mulai tahun 2015.yb asiah

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Hajah Asiah Binti Hj Md Ariff berkata, Kerajaan negeri Johor sentiasa menghargai dan mengambil perhatian akan kebajikan semua penyelia dan petugas PDK di seluruh Negeri Johor.

Dengan keprihatinan inilah kerajaan negeri Johor telah mengambil inisiatif menambah bayaran elaun penyelia dan petugas PDK sebanyak RM200.00 seorang yang menjadikan penyelia PDK kini menerima elaun sebanyak RM1,400.00 manakala petugas menerima RM1,000.00 setiap bulan” ujarnya.

Walaupun kerajaan persekutuan mensasarkan gaji minimum diberikan melebihi RM900.00 oleh semua majikan namun kerajaan negeri Johor yang amat prihatin turut memastikan bahawa elaun penyelia dan petugas PDK turut melebihi nilai tersebut.

Kerajaan negeri Johor juga telah mengambil pendekatan memberi bonus atau imbuhan tahunan kepada semua penyelia dan petugas PDK sebanyak RM500.00 seorang berdasarkan pengumuman bonus atau imbuhan oleh kerajaan persekutuan dan telah melaksanakan semenjak tahun 2008 lagi.

Bonus atau imbuhan ini ditampung sepenuhnya oleh kerajaan negeri Johor. Dan, pemberian ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada semua penyelia dan petugas PDK yang sentiasa komited mengajar pelatih PDK berdikari dan ketabahan dan kesabaran mereka yang amat dititikberatkan dalam aktiviti seharian.