Karnival Serlahkan Kehebatan 4.0, Himpunan Motosikal Terbesar Catat MBOR

NUSAJAYA, 30 Mei — Karnival Serlahkan Kehebatan 4.0 yang berlangsung di Dataran Mahkota, Kota Iskandar di sini, mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini apabila berjaya mencapai sasaran penyertaan perhimpunan 23,000 buah motosikal.

Karnival anjuran Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) itu mencipta sejarah bagi perhimpunan motosikal terbesar di negara ini selepas kali terakhir dicatat lapan tahun lepas di Selangor dengan penyertaan sebanyak 6,080 buah motosikal.

image-2Ketua Penerangan dan Tindakan Gabung, Abdullah Md Yusop berkata pihaknya tidak menjangka menerima penyertaan menggalakkan dengan sebanyak 245 kelab motosikal menyertai karnival tersebut.

“Penyertaan ini termasuk dari Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

“Kita menyediakan sebanyak 20,000 pelekat penyertaan, namun kehadiran penunggang dan pengunjung melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Abdullah berkata berikutan kejayaan itu, pihaknya merancang untuk memecahkan rekod Guiness Book of World Records tahun hadapan menerusi penganjuran acara yang sama.

Beliau berkata karnival berkenaan dapat memperkenalkan Johor khususnya Nusajaya sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini pada masa hadapan.

“Apa yang menarik tentang karnival ini ialah selain aktiviti permotoran, ia juga diselit dengan aktiviti kerohanian pada sebelah malam termasuk solat hajat, khatam Al-Quran dan majlis selawat,” katanya.

Terdahulu, majlis penyerahan sijil MBOR itu disampaikan wakil MBOR, Nurul Huda Zakaria kepada pengarah program berkenaan, Mohd Syahlizam Mohyi.