Semua Pihak Berperanan Jayakan RMK11 – Razali

MUAR, 29 Mei – Semua pihak mempunyai peranan masing-masing dalam menjayakan pelan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) supaya harapan agar negara mencapai status negara maju tercapai.

re_07.1Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata bukan masanya lagi rakyat melayan segala fitnah yang ditabur pelbagai pihak yang kononnya apa yang dilakukan Kerajaan Pusat tidak menepati aspirasi rakyat.

“Dalam RMK11 itu ia memerlukan kita sebagai rakyat memberi maklum balas positif bagaimana mampu menyumbangkan tenaga dalam membangunkan negara selaras Wawasan 2020.

Dalam soal ini jangan kita melayan segala karenah yang ditimbulkan pelbagai pihak yang tidak senang dengan apa perancangan yang kita lakukan demi membangunkan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Sayang anjuran bersama Jabatan Penerangan Umno Bahagian Muar dan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Muar di sini, hari ini.

Pada 21 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah membentangkan RMK11 bertemakan ‘Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ yang mengandungi enam teras strategik dan enam pemacu perubahan mencakupi segala aspek untuk meletakkan Malaysia pada landasan yang betul bagi mencapai status negara maju dan inklusif selaras Wawasan 2020.

Enam strategi itu ialah inklusiviti, kesejahteraan rakyat, modal insan, pertumbuhan hijau, infrastruktur serta inovasi dan produktiviti.

Enam pemacu perubahan yang digariskan untuk memastikan kejayaan kesemua strategi itu ialah meningkatkan produktiviti, menjana kekayaan melalui inovasi, mempertingkat peratusan masyarakat kelas menengah, menteraskan pendidikan dan latihan teknikal (TVET), melaksana pertumbuhan hijau dan melabur di bandar-bandar berdaya saing.

Razali yang juga Anggota Parlimen Muar itu berkata pihak yang tidak senang dengan apa yang dilakukan kerajaan itu akan sedaya upaya untuk memastikan apa yang dicitakan itu menjadi kegagalan dan jika rakyat berjaya diperangkap mereka, akhirnya ia akan merugikan semua pihak.

“Sebab itu dalam keadaan apa yang kita lakukan sekarang adalah penting kita ambil masa untuk memikirkan peranan bagi menyumbang terhadap kemajuan negara seperti yang dirangka melalui pelan RMK11 itu,” katanya.

Mengenai program itu, Razali mahu semua pihak mengiktiraf sumbangan wanita yang bukan sahaja mampu mengendalikan sebuah rumah tangga namun yang lebih besar dalam aspek pembangunan negara.

Katanya golongan wanita mampu mencorakkan pembentukan jati diri generasi akan datang yang akhirnya dapat membentuk negara makmur dan maju.

Pada majlis itu Razali turut memberikan penghormatan kepada tokoh-tokoh ibu mengikut zon.-Bernama