Bank komersial diminta patuh

JOHOR BAHRU 28 Mei – Kerajaan negeri menyambut baik penjelasan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aktar Aziz bahawa syarat pinjaman perumahan tidak diketatkan bagi pembeli rumah mampu milik kali pertama, sekali gus berharap bank komersial mematuhinya.

image-1Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi berkata, jaminan yang diberikan itu selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk menyediakan rumah mampu milik kepada golongan yang belum memiliki rumah.

“Berdasarkan maklum balas kebanyakan rakyat negeri ini menghadapi masalah pinjaman sebaik sahaja menerima tawaran untuk memiliki rumah yang dimohon.

“Jadi, kita harap apa yang dikatakan oleh Gabenor Bank Negara bahawa pinjaman perumahan tidak diketatkan hendaklah dikotakan dengan bank-bank komersial yang dipilih mestilah mematuhi perturan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan Hari Terbuka Perumahan Mampu Milik Negeri Johor 2015 di KSL Hotel & Resort, di sini semalam.

Mengenai pameran tiga hari bermula 5 Jun ini, Abdul Latif berkata, program itu akan menghimpunkan 35 pemaju perumahan dari 10 daerah dan orang ramai yang ingin mendapatkan rumah mampu milik yang terdiri daripada tiga kategori dijemput mengunjunginya.

Tiga kategori rumah yang ditawarkan adalah kediaman berharga RM42,000, RM80,000 dan RM150,000 dan pembeli mesti mempunyai gaji minimum RM3,000 ke bawah, RM5,000 ke bawah dan RM5,000 ke atas.

Mengurutnya, program anjuran kerjasama kerajaan negeri dan Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ) itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai terutamanya golongan bumiputera untuk mendapatkan maklumat tentang produk dan pemilikan rumah kos rendah dan mampu milik.

“Sempena pameran itu, orang ramai juga boleh membuat pendaftaran rumah secara atas talian, pe­nerimaan dan semakan dokumen serta khidmat nasihat oleh Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Abdul Latif memberitahu, kerajan negeri kini menerima permohonan rumah mampu milik sebanyak 85,000 dan hingga kini sedang membina 46,000 unit rumah yang dijangka siap sepenuhnya pada 2018. – Utusan