Jangan Terkejut…Pas Sekadar Pemerhati Sekiranya Terus Biar Dap ‘Bersuara’

KLUANG, 27 Mei – Setiausaha UMNO Johor  Md Jais Sarday berkata, Pas harus berhati-hati dengan rakan sekutunya Dap sekiranya mahu melihat parti itu terus kukuh dan mempunyai suara. Sekiranya tidak, maka tidak mustahil perjuangan Pas sekadar hanya akan tinggal nama.

Jelas Jais, ini kerana Dap dilihat semakin berani untuk mengkritik sekutu mereka itu  khususnya menjelang pemilihan parti Pas Jun nanti.

UMNOJOHOR-25-s“Kita lihat sekarang ini Dap dengan lantang mengkritik Pas seakan mahu campurtangan berhubung pemilihan di dalam parti berkenaan. Bagi saya, Dap sebenarnya mahu mengukuhkan kuasanya di dalam pakatan pembangkang .

“Sekiranyanya strategi ini berjaya maka Pas akan berubah wajah sebagaimana mereka mengubah perjuangan daripada membangun bersama Islam kepada negara berkebajikan.

“Kalau inilah yang berlaku, maka tidak mustahil juga golongan ulama akan ‘ditendang’. Yang ada cuma golongan akademik yang condong ke arah sana,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Jais yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang, Pas seharusnya mempunyai pendirian yang konsisten dan merenung kembali kepada perjuangan awal parti itu yang kini telah semakin tersasar dan sekiranya mereka membiarkan Dap dengan tindak-tanduk hari ini, maka Pas tidak akan ke mana.

“Jadi, saya amat berharap agar penyokong Pas mendesak kepimpinan parti itu untuk kembali kepada landasan yang sebenar. Jangan nanti mereka hanya sekadar pemerhati kelak,” katanya lagi.