Tidak Pelik Dua Minggu Tunggu Musnah, Kehancuran Sudah Lama

KUALA LUMPUR 25 Mei – Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaaari sedikit pun tidak terkejut dengan bayangan Penasihat Dap, Lim Kit Siang bahawa pakatan pembangkang mungkin tiada dalam tempoh dua minggu lagi.

Menurut beliau daripada awal lagi perkara tersebut sudah nampak petanda setelah masing-masing hanya boleh berkongsi pentas yang sama untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) namun berlainan agenda serta hala tuju.

anuar shaari“Sebab itu bagi saya tidak pelik dengan apa yang dibayangkan oleh Penasihat Dap itu kerana bayang-bayang berkenaan telah pun wujud sejak mereka mewujudkan kerjasama antara satu sama lain sebelum ini.

“Bayangkan… agendanya lain-lain dan sekadar berpaksikan kepada bersetuju untuk tidak bersetuju bagi menyedapkan hati masing-masing dalam usaha menjayakan pakatan yang dilaksanakan.

“Lagi satu bayangan berkenaan menunjukkan bahawa segala yang mereka canang dan segala yang mereka tuturkan serta yang mereka pamerkan selama ini kepada masyarakat umum jelas hanyalah sekadar retorik semata-mata,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata Dap, PKR dan Pas, tiga parti komponen dalam pakatan pembangkang mungkin tidak akan wujud lagi dalam tempoh dua minggu lagi.

“Ini merupakan perkembangan politik paling tidak munasabah,” kata Lim dalam laman blognya pada Ahad.

Anuar Shaari seterusnya menambah retorik dan lakonan yang dipaparkan oleh ketiga-tiga parti di dalam pakatan pembangkang nampaknya bakal terungkai sekiranya apa yang dibayangkan oleh Kit Siang itu benar-benar menjadi realiti.

Ujar beliau lagi segala wayang yang dipamerkan sebelum ini tidak lebih sekadar menjerat mereka sendiri yang cukup ghairah terutama menjelangnya Pilihan Raya Umum yang lalu menerusi misi mereka ‘Road To Putrajaya’.

“Mana perginya “Road To Putrajaya’… Mana hilangnya prinsip kesatuan mereka di dalam pakatan pembangkang. Jika asasnya yang goyah, percayalah tidak akan ke mana. Asas yang hanya sekadar untuk tumbangkang BN tidak mampu untuk mengikat ketiga-tiga parti berkenaan untuk terus berada di dalam satu kapal.

“Bukankah jika tiga nakhoda dalam satu kapal dengan hala tuju pelayaran yang berlainan bakal menggoyahkan kapal berkenaan. Itulah tafsiran yang tepat bagi bayangan tersebut,” ujarnya.-MediaUMNO