Johor pusat pendidikan serantau

SEGAMAT 22 Mei – Negeri ini bakal menjadi pusat perkembangan pendidikan serantau apabila hab pendidikan di Pagoh, Educity di Nusajaya dan pusat pembangunan kemahiran di Kota Tinggi siap dibina kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday berkata, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) akan menumpukan pembangunan universiti awam, manakala Educity pula akan menarik universiti swasta luar negara dan pusat pemba­ngunan kemahiran akan memberi penekanan terhadap aspek tersebut.

“Ini merupakan satu perkembangan sihat bagi pembangunan pendidikan di negeri ini kerana usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini turut menarik minat beberapa institut kemahiran dari luar negara termasuk dari Jerman, Australia, Jepun dan United Kindom untuk menjalin kerjasama.

“Setakat ini, wakil dari negara tersebut sudah pun datang melihat kesesuaian kawasan yang bakal dibangunkan dan penilaian sedang dibuat untuk menentukan kursus yang bersesuaian untuk diadakan,” katanya selepas merasmikan Sam­butan Hari Guru peringkat negeri di Dewan Serbaguna Segamat, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat; ADUN Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim; ADUN Buloh Kasap, Norshida Ibrahim, Pengarah Pendidikan negeri, Aminudin Adam dan Pegawai Daerah Segamat, Ahmad Ma’in.

Md. Jais berkata, negara yang berminat untuk menjalin kerjasama telah sedia mempunyai pelaburan di negara ini seperti Jerman dan Jepun dalam industri kereta, manakala United Kindom berkaitan pembuatan engin kapal terbang.

Menurutnya, ketiga-tiga hab pendidikan tersebut akan menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan negeri menjadikan negeri ini sebagai pusat pendidikan serantau bersesuaian dengan kedudukan Johor yang bersempadanan beberapa negara seperti Singapura dan Indonesia.

Beliau yang juga ADUN Mahkota mahu rakyat negeri ini merebut peluang untuk memajukan diri dalam bidang pendidikan termasuknya kemahiran demi kepentingan pembangunan pendidikan anak negeri ini.

“Kita tidak mahu selepas bersusah payah mewujudkan pelbagai kemudahan, ia hanya memberi manfaat kepada orang luar sedang­kan anak negeri ini ketinggalan semata-mata disebabkan mereka tidak mahu merebut peluang dan kemudahan yang tersedia di depan mata,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia