Kerajaan BN Tetap Beri Keutamaan Pembangunan Luar Bandar – Muhyiddin

REMBAU, 23 Me — Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan tetap memberi perhatian dan keutamaan kepada sektor luar bandar selagi diberi mandat oleh rakyat untuk terus mentadbir negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin.

Justeru, beliau berkata kerajaan mahu kawasan luar bandar dijadikan kawasan pertumbuhan ekonomi baharu untuk rakyat dan tidak kekal pada tahap sedia ada seterusnya mengurangkan penghijrahan generasi muda dari kawasan luar bandar.

MUHYIDDIN YASSIN_COLOURFUL CARNIVAL_EDUCATION“Masyarakat luar bandar penting untuk negara, masyarakat luar bandar menjana hasil pengeluaran seperti pertanian, perikanan dan bahan diperlukan rakyat, sektor luar bandar ada potensi istimewa.

“Selain terdiri (daripada) penduduk rajin bekerja, ia (masyarakat luar bandar) punyai kumpulan daya fikir tinggi serta punyai keupayaan jana idea baharu, idea itu mampu hasilkan sesuatu pengeluaran produk dan perkhidmatan bagi
menjana pendapatan yang lebih tinggi,” katanya di sini hari ini.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2015 di sini yang dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin,
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan kira-kira 10,000 orang.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2015 iaitu Kampung Batu 16 dari Muar, Johor dengan projek inovasi trak pelbagai guna, membawa pulang wang tunai
RM50,000 dan lawatan ke luar negara.

Tempat kedua dimenangi Kampung Kundur Hulu dari Rembau Negeri Sembilan dengan projek sabak salai dan tempat ketiga oleh Koperasi Agro Belatik, Kampung Belatik, Sik, Kedah melalui projek inovasi tanaman padi organik dengan masing-masing membawa pulang RM40,000 dan RM30,000 berserta lawatan ke luar negara.

Muhyiddin berkata Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) memainkan peranan penting dalam rancangan kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar terutamanya dalam menyediakan infrastruktur asas yang lengkap kepada masyarakat
di kawasan itu.

Beliau berkata melalui RMK-11 kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarak diberi perhatian khusus di mana kerajaan amat memahami bahawa infrastruktur asas seperti jalan raya perlu dilengkapkan bagi menghubungkan
rakyat.

“Kampung tetap kekal kampung, tetapi kita mahu kampung yang lebih baik dan berjaya supaya masyarakat lebih terjamin dan berjaya, usaha ini akan dibuat kerajaan secara berterusan,” katanya.

Dalam RMK-11 ini juga, menurutnya kerajaan merancang untuk membina lebih banyak program latihan teknikal dan vokasional yang akan melatih generasi baharu dengan kemahiran.

Usaha berkenaan katanya, secara tidak langsung dapat memastikan generasi muda di luar bandar akan lebih terjamin dan berjaya.