Anggota UMNO Harus Kerja Keras Tangani Persepsi Defisit Kepercayaan- Muhyiddin

JOHOR BAHARU, 23 Mei — Anggota UMNO perlu bekerja keras termasuk kerap turun padang bagi menangani persepsi sebilangan pihak berhubung defisit kepercayaan yang dihadapi parti itu, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat
kepada UMNO, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata dengan pendekatan menyelami hati nurani masyarakat dan mengetahui keperluan mereka, keyakinan rakyat terhadap parti dan kerajaan dapat diperkukuhkan.

11154938_10206844627178935_1919895778227331553_o-1Selain itu, momentum anggota UMNO dalam menyelami hati rakyat tidak boleh kendur supaya parti yang ditunjangi orang Melayu itu dapat terus membela nasib rakyat terutamanya generasi muda, kata Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana
Menteri.

“Kita kena tulus ikhlas supaya dapat membentuk persepsi positif iaitu parti yang ada kredibiliti dan integriti supaya parti kita diyakini.

“Ada pihak kata, situasi kini amat mencabar, ada yang kata “trust deficit”…kepercayaan menurun. Saya tidak tahu ia persepsi atau satu kenyataan tetapi tanggungjawab itu terletak di atas bahu kita terutama anak muda seperti
Pergerakan Puteri UMNO,” kata beliau, sambil disambut sorakan 1,000 anggota Puteri UMNO, di sini.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Gelombang Merah Jambu Fans 2015 di Dataran Bandaraya Johor Baharu, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Md Jais Sarday, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Johor Rohaiza Ahmad.

Muhyiddin berkata anggota UMNO khususnya Pergerakan Puteri, bukan sahaja perlu berdamping dengan masyarakat malah perlu memahami tuntutan jiwa dan raga yang diperlukan setiap golongan rakyat termasuk wanita.

Beliau berkata rakyat ketika ini mahu melihat UMNO sebagai parti yang sentiasa membela dan bersikap adil dalam apa jua dasar yang dilakukan serta tidak lari daripada tanggungjawab sama ada pada ketika susah dan senang.

“Masyarakat masih memberi penilaian terhadap segala apa yang kita (kerajaan) lakukan. 10622820_901936829849222_6129154975807489050_n

“Rakyat Malaysia, tidak mengira apa keturunan, masih mengharapkan satu usaha yang berterusan dan sokongan diberikan kepada mereka untuk menentukan supaya hidup mereka bertambah lebih baik, sejahtera dan lebih bahagia,” kata beliau.

Menurut Muhyiddin, harapan dan masa depan negara juga terletak atas bahu anggota Pergerakan Puteri UMNO memandangkan mereka merupakan kelompok yang tahu corak, budaya dan apa yang dicita-citakan rakyat khususnya generasi muda.

“Sebagai langkah awal, kita balik kawasan, turun padang jumpa masyarakat. Kalau ini dapat dilakukan, maka, ada keyakinan rakyat terhadap UMNO untuk pilihan raya akan datang,” katanya.

Muhyiddin menegaskan pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup golongan wanita termasuk menubuhkan kementerian, namun, inisiatif oleh Pergerakan Puteri juga memainkan peranan penting bagi membolehkan
golongan wanita mencapai taraf yang sama dengan golongan lelaki.

Sambil mengucapkan tahniah atas penganjuran program himpunan berkenaan, Muhyiddin berkata Pergerakan Puteri UMNO dalam masa yang sama juga perlu merapatkan saf dan mengelakkan perbalahan sesama mereka.

Beliau menegaskan ‘gelombang’ merah jambu juga perlu sentiasa disemarakkan sampai bila-bila supaya tidak pudar dalam membela rakyat dan negara.