Rakyat Jangan Terpengaruh Agenda Jahat Kononnya RMK-11 Tidak Bagus

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap berkata, pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak sudah pasti mendapat kecaman daripada mereka yang tidak suka kepada kejayaan Barisan Nasional.

Jelasnya, oleh kerana pembentangan tersebut sesuatu yang inklusif dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat maka sudah pasti ada sahaja pihak yang tidak bertanggungjawab yang akan cuba mempengaruhi rakyat agar perjalanan Negara menuju Negara maju pada 2020 mendapat tentangan.image

Oleh yang demikian, beliau melahirkan harapan agar rakyat jangan mudah terpengaruh apatahlagi mempercayai apa yang disebarkan melalui media sosial.

“Saya sedar, peranan media sosial memang cukup besar dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai cuma penyalahgunaan semakin kerap.

“Rakyat pula janganlah hanya mengambil satu atau dua fakta yang dibaca diinternet. Dapatkan sumber yang lebih tepat daripada sumber yang diketahui ketepatannya. Gunakan maklumat tersebut untuk perbandingan.

“saya amat berharap agar rakyat lebih matang dan tidak terlalu mengambil mudah mempercayai apa yang dibaca di media sosial,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mempengaruhi rakyat agar tidak menerima RMK-11 walaupun ianya adalah sesuatu yang mendatangkan kebaikan bukan sahaja kepada Negara malah kepada rakyat.

Mengulas mengenai pembentangan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu, RMK-11 dilihat mampu dicapai dengan baik walaupun Negara hanya mempunyai tempoh lima tahun terakhir.

Walaupun keadaan ekonomi Negara agak tidak stabil namun ianya bukanlah sesuatu yang boleh menghalang kejayaan Negara.

“Dari segi prospek pembangunan dan pengagihan peruntukan yang cuba disasarkan oleh kerajaan, ianya diambil kira bermula daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa. Fokus utama pula sudah pasti kepada mereka yang purata pendapatan isi rumah kumpulan berpendapatan rendah B40. Kumpulan ini akan digandakan kepada RM5,270 menjelang 2020 dan seterusnya menganjakkan sebahagian mereka kepada kumpulan pertengahan.

“Selain itu saya lihat rangka untuk lima tahun terakhir ini akan memberi satu kekuatan baru kepada kerajaan bagi merangka mencapai sasaran ke arah Negara maju menjelang 2020,” ujarnya lagi.