Nelayan Syukur ?Terima Sagu Hati

PASIR GUDANG 20 Mei – “Kami amat bersyukur dengan pemberian sagu hati ini. Terima kasih kerajaan negeri.” Demikian luahan hati seorang nelayan, Mohd. Mazlan Sulong, 59, dari Kampung Pasir Putih di sini berhubung pemberian sagu hati sebanyak RM1,000 kepada nelayan serta penternak kupang dan ikan sangkar di kawasan pesisiran pantai Johor Selatan.

Beliau berkata, ini adalah kali pertama dia menerima sagu hati setelah menjadi nelayan sejak 34 tahun dan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan keluarganya.

image-1“Dengan duit ini dapatlah saya beli peralatan menangkap ikan se­perti jaring, bubu dan kawah. Selebihnya dapatlah saya guna untuk beli barangan keperluan harian untuk keluarga,” katanya dalam majlis Penyerahan Ex-Gratia Nelayan Johor Selatan, di sing.

Majlis penyerahan saguhati kepada 389 nelayan serta penternak kupang dan ikan sangkar bagi kawasan Tebrau itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang dan disaksikan Pengarah Perikanan negeri, Munir Mohd. Nawi.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta sebagai pendahuluan kepada Tabung Pembangunan Nelayan Johor bagi membantu nelayan, penternak kupang dan ikan sangkar yang terjejas akibat pembangunan pesat yang berlaku di negeri ini.

Melalui tabung tersebut, seramai 1,509 individu terlibat di kawasan Johor Selatan telah dikenal pasti untuk menerima sagu hati bernilai RM1,000 secara tahunan.

Bagi Orang Asli Seletar, Khamis Awang, 37, berkata, dia akan menggunakan duit sagu hati itu untuk perbelanjaan sekolah anak lelaki­nya berusia 10 tahun.

Beliau yang telah menjadi nelayan sejak lebih 20 tahun lalu turut berhasrat untuk menyimpan sedikit duit sagu hati tersebut di dalam bank.

Sumber: Utusan Malaysia