HPTP operasi setahun awal

PAGOH 20 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fasa pertama Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) dijangka mula beroperasi awal pertengahan tahun depan, iaitu setahun lebih awal daripada perancangan asal pada 2017.

Timbalan Perdana Menteri berkata, lebih menggembirakan beliau, sebahagian fasa pertama projek tersebut kini sudahpun siap kira-kira 70 peratus.

image-2“Dalam pada itu, usaha kita te­rus untuk menarik minat beberapa universiti lain termasuk dari luar dan ada sesetengah masih dalam perbincangan. Contohnya, Imperial College, London telah bersetuju bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ini petanda yang baik.

“Selain itu, kita juga bincang pembangunan Bandar Baharu Universiti Pagoh ini, khususnya aspek infrastruktur. Contohnya jalan, kediaman dan pengangkutan awam supaya seiring, sekali gus mening­katkan pembangunan di sekitar HPTP,” katanya dalam sidang akhbar selepas Taklimat Pelan Pemba­ngunan Parlimen Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Pagoh berkata, seperkara lagi yang menggembirakan beliau adalah apabila laluan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura yang akan dibina tidak lama lagi turut merentasi kawasan HPTP dan turut menjadi satu nilai tambah kepada hab itu.

“Selepas berbincang dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pada dasarnya bersetuju laluan dalam kawasan HPTP. Jadi ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lebih pesat bagi Bandar Baharu Universiti Pagoh,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin, Pengerusi Eksekutif Sime Darby Property Selatan Sdn. Bhd., Datuk Seri Abd. Wahab Maskan dan Pengerusi Eksekutif Tunas Selatan Sdn. Bhd., Tan Sri Esa Mohamad menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Kolej Kediaman Pelajar HPTP antara Tunas Selatan Construction dengan empat universiti awam di hab pendidikan tersebut.

MoU itu ditandatangani oleh Esa; Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Dr. Ir. Zaini Ujang; Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid Omar; Rek­tor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin dan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Dalam ucapan pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, HPTP bakal menjadi pusat pendidikan tinggi bertaraf dunia apabila bekerjasama dengan Imperial College untuk menubuhkan makmal automotif termaju.

“Saya juga menyambut baik penubuhan Institut Keusahawanan oleh Proven Holdings Sdn. Bhd., untuk menjadikan ekosistem keusahawanan sebagai tumpuan di HPTP dan menyokong hasrat UIAM menubuhkan sekolah antarabangsa sebagai daya tarikan untuk pelajar dan profesor antarabangsa ke Pagoh,” katanya.

Beliau juga yakin pembinaan makmal dan peralatan teknologi hijau oleh UTHM Holdings Sdn. Bhd., untuk kegunaan UTM dan Malaysian-Japan International Ins­titute of Technology (MJIIT) akan menjadikan HPTP pusat teknologi hijau yang terkemuka.
Sementara itu, beliau berkata, kolej kediaman yang dibina menyediakan tempat tinggal kepada 7,000 penuntut dengan kos RM300 juta mengguna pakai model Usahasama Swasta dan Awam (PPP) yang diubah suai pihak pemaju.

“Pihak pemaju, iaitu Tunas Selatan Construction Sdn. Bhd., akan menyediakan kolej kediaman manakala anak syarikat universiti awam akan mengambil tanggungjawab membuat pinjaman kewa­ngan dan membeli kolej kediaman itu dengan harga murah,” katanya.

Menurutnya, kaedah yang dilaksanakan itu dapat mengurangkan karenah biokrasi, menjimatkan masa, efesien dan memastikan nilai kewangan dalam perolehan yang dibuat oleh badan berkanun di negara ini.

Sumber: Utusan Malaysia