Wan Jamak Dilantik Ketua Pembangunan Bola Sepak Belia JDT

KUALA LUMPUR, 21 Mei– Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) melantik bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Belia untuk kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut PBNJ, bekas pemain kebangsaan itu ditugaskan untuk membimbing serta terlibat dalam misi pembangunan bola sepak negeri Johor dalam misi melahirkan barisan pemain muda yang berbakat.

11141136_471967939633177_4234290503487656239_n“Beliau juga akan bekerjasama dengan barisan jurulatih (kelab dari Jerman) Borussia Dortmund (BVB) yang tiba pertengahan Julai ini untuk melatih pemain dalam program pembangunan belia,” demikian menurut PBNJ menerusi entri terbaru dalam laman Facebook rasmi JDT: Johor Southern Tigers.

Wan Jamak, 57, yang juga anak jati Johor, bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak negara kerana pernah membimbing beberapa pasukan dan kelab dalam saingan Liga Malaysia seperti Melaka Telekom, Kedah dan PKNS FC.

Beliau turut membantu Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia pada 2009 dan Piala FA, selang setahun kemudian.

Bekas pemain kebangsaan pada pertengahan era tahun 70-an itu turut menjadi jurulatih negara dan membantu skuad negara muncul naib juara edisi sulung Piala Tigers yang kini dikenali sebagai Piala AFF Suzuki.