Lima Projek Bawah PIA, PIAS DUN Bukit Gambir Siap

LEDANG, 21 Mei– Lima projek pembangunan yang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gambir di bawah Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) untuk tahun ini telah siap dilaksanakan.

Anggota DUN Bukit Gambir Datuk M. Asojan berkata projek berkenaan yang membabitkan peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM200,000 itu termasuk melebarkan dua jambatan di Kampung Kurnia Jaya dan Kampung Meranti Sundai dengan setiap satunya melibatkan kos RM50,000.

px_50.1“Selain itu, RM30,000 untuk membaik pulih Balai Raya Taman Ledang, Sagil dan RM20,000 digunakan bagi menurap jalan di Sekolah Agama Kampung Sagil.

“Lebihan peruntukan berjumlah RM50,000 pula digunakan untuk menaik taraf jalan-jalan kampung lain seperti Lorong Manja di Kampung Parit Jarum Laut,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di Masjid Jamek Kampung Parit Zing, Bukit Gambir di sini, Khamis.

Asojan berkata peruntukan tahunan itu diterima Februari lepas dan kesemua projek berkenaan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan terlibat.

Sementara itu beliau berkata, masalah mendapan longkang sekeliling di masjid yang dilawatinya itu akan diatasi sebaik jurutera Jabatan Kerja Raya daerah membuat pemeriksaan lanjut.

Katanya kos untuk membaik pulih kerosakan itu dianggarkan melebihi RM100,000.

“Ini antara masalah yang berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat dan saya berharap masalah di sini juga akan diatasi segera,” katanya.

Beliau berkata struktur bangunan masjid tersebut tidak mempunyai sebarang masalah dan ia selamat digunakan selepas siap dibina pada 2013.

Menurutnya masjid bernilai RM1.39 juta ini boleh memuatkan kira-kira 150 jemaah dalam satu-satu masa dan dibina bagi menggantikan masjid lama yang dibina pada 1936.