320 pesara polis terima pingat

JOHOR BAHRU – Seramai 320 pesara polis di negeri ini hari ini menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) atas sumbangan mereka berkhidmat pada zaman darurat.

11011211_1070778109616369_5557802829051887363_nMajlis penganugerahan pingat itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada) di sini dan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dalam satu kenyataan berkata, pemberian anugerah itu sebagai menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan khidmat bakti mereka semasa tiga zaman darurat.

Menurutnya, zaman itu ialah semasa Era Darurat dalam Perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu dari 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960, Era Insurgensi Komunis pada 17 Jun 1968 hingga 2 Dis 1989 di Tanah Melayu dan pada 1962 hingga 17 Okt 1990 di Sabah dan Sarawak.10828026_1070776746283172_6530127516304420051_o

Seorang daripada penerimanya, Mohd Noor Ismail, 92, berkata beliau meminati kerjaya polis sejak dari kecil setelah melihat arwah ayahnya berkecimpung dalam bidang sama.

“Sampai sekarang saya masih berasa diri saya polis walaupun sudah pencen dan tua.

“Pengalaman paling tidak boleh dilupakan ialah apabila menyaksikan sendiri kemusnahan kawasan Bukit Kepong, di Muar. Ia tinggal habuk dan saya sangat takut ketika itu,” katanya yang ditemui Bernama sejurus selesai majlis tersebut.

Seorang lagi daripada mereka, Rasyid Kaban, 79, berkata beliau berasa bangga dan bertuah kerana dikurniakan pingat tersebut.

Lebih menggembirakan, jejak langkah beliau yang menjadi polis kini diikuti anaknya.