Kuasa Baharu Ekonomi – Johor Terus Jadi Destinasi Utama Pelaburan Asing, Domestik

JOHOR BAHRU 18 Mei – Negeri ini mampu menjadi kuasa baharu ekonomi Malaysia apabila terus menjadi destinasi utama pelaburan asing dan domestik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada tahun lalu, negeri ini menca­tatkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan sebanyak RM21.17 bilion, meletakkan Johor pada kedudukan pertama di negara ini.

“Kita juga mempunyai simpanan yang besar dan menjadikan kita berada dalam kedudukan selesa. Pada akhir tahun lalu, kita mempunyai rizab negeri sebanyak RM2.3 bilion.

“Jika kita semua terus berusaha gigih, Johor akan menjadi kuasa baharu ekonomi Malaysia, malah tidak mustahil suatu waktu nanti menjadi pusat pertumbuhan paling pesat mengatasi Lembah Klang,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.photo_2015-05-21_23-54-31

Mohamed Khaled berkata, pembangunan wilayah ekonomi di negeri ini bukan tertumpu kepada Iskandar Malaysia sebagai Gerbang Ekonomi Selatan tanah air, malah turut memberi limpahan kepada daerah lain.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi fokus terhadap pelan pembangunan di daerah lain, antaranya Pagoh yang akan dibangunkan menjadi pusat pendidikan berkepentingan nasional, manakala Batu Pahat menjadi bandar perkilangan dan pembuatan paling penting di negara ini.

Menteri Besar berkata, Pe­nge­rang pula sedang dibangunkan sebagai pusat industri minyak dan gas utama negara, manakala Desaru di Kota Tinggi sebagai pusat pelancongan dan Mersing dibangunkan sebagai sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Strategi kita untuk membangunkan potensi setiap daerah berdasarkan kekuatan setempat. Ketika membangunkan Iskandar Malaysia, kita mengambil kira dengan teliti segala aspek termasuk kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura yang mampu memberi nilai tambah terhadap kemasukan pelaburan asing,” katanya sambil memberitahu kerajaan negeri berhasrat mewujudkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pengerang bagi mengurus pembangunan pesat di kawasan ber­kenaan.

Beliau berkata, cadangan tersebut juga telah mendapat kelulusan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan lanjut bagi melaksanakan perkara ini kerana kewujudannya amat diperlukan bagi memastikan pembangunan pesat di Pengerang berjalan dengan teratur, lestari dan berkesan.