Kelab Penyokong BN diminta kerap turun padang

NUSAJAYA – Pengerusi Kelab Penyokong BN Johor, Datuk Samsol Bari Jamali hari ini meminta anggotanya kerap turun padang bagi memperjelaskan pelbagai isu serta fakta yang diputar-belitkan pihak pembangkang di peringkat akar umbi.

Menurutnya, masyarakat berhak mendapatkan maklumat terkini dan keterangan yang lebih sihat daripada wakil-wakil rakyat kerajaan, meskipun isu itu pernah dibincang dan dibawa pembangkang.

image“Kita maklum tentang tindakan mereka (pembangkang) yang mengelirukan masyarakat dengan fakta-fakta tidak betul. Kalau kita (wakil rakyat) boleh mendengar usaha pengeliruan itu dalam (persidangan) Dun, apatah lagi jika di luar sana.

“Justeru, dalam menangani perkara ini, kita telah meminta semua ahli kelab agar kerap turun padang, menyatakan fakta yang benar dan bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita setelah selesai hari terakhir persidangan Dun Johor ke-13 di sini hari ini.

Mengambil contoh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai antara isu yang dikerap dipesongkan, Samsol Bari berkata pembangkang sering menyamakan ia sebagai cukai yang memiskinkan rakyat hingga menyebabkan mereka terpaksa menjadi ‘penjenayah’.

“Ada juga yang menyamakan pelaksanaan GST sekadar gurauan. kalau itu mentalitinya, saya rasa kita menghadapi masalah dan cabaran yang besar berhubung mentaliti dalam negara.

“Kalau nak tahu, sebenarnya tidak ada perkara yang tidak baik mengenai GST. Cuma ada perkara yang harus diperbaiki bukan untuk menghapuskan,” katanya