Dewan Negeri: Industri Pelancongan Kesihatan Johor Berpotensi Besar

NUSAJAYA, 18 Mei – Industri pelancongan kesihatan di Johor merupakan pasaran yang mempunyai potensi besar untuk diterokai berikutan faktor geografinya yang berdekatan dengan negara jiran, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong.

Beliau berkata di Dewan Undangan Negeri hari ini, kekerapan pengangkutan antara Johor dan Indonesia juga menjadi pendorong kepada potensi itu.

“Beberapa bandar besar Indonesia mempunyai perkhidmatan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan terdapat 11 jeti yang menghubungkan kedua-dua negara melalui pengangkutan air.tee siew kiong

“Selain itu, faktor bahasa dan budaya yang hampir sama turut menarik pelancong kesihatan Indonesia ke sini,” katanya semasa menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) yang ingin tahu faktor menyebabkan rakyat Singapura dan Indonesia memilih Johor sebagai destinasi pelancongan kesihatan mereka pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di sini.

Katanya terdapat 10 buah institusi perubatan dan hospital di Johor yang menawarkan pelancongan kesihatan dengan kos perubatan lebih rendah berbanding Singapura.

Terdahulu, Tee berkata jumlah pelancong yang mendapatkan perkhidmatan tersebut meningkat secara signifikan sejak 2012 dengan 27,500 orang dicatatkan pada 2012, 31,000 orang (2013) dan 33,700 orang (2014).

“Jumlah ini merupakan rekod untuk pesakit sahaja tidak termasuk penjaga atau keluarga pesakit dan pelawat luar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Raven Kumar Krishnasamy (BN-Tenggaroh).