Kajian Menyeluruh Kawasan Banjir Berulang Bakal Cari Penyelesaian Bersepadu

NUSAJAYA, 17 Mei — Satu kajian menyeluruh mengenai kawasan banjir berulang di semua daerah di negeri ini bakal dijalankan bagi mencari penyelesaian bersepadu, melibatkan pelbagai agensi pelaksana di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata penglibatan agensi penting bagi menjayakan usaha itu seperti Jabatan Alam Sekitar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Johor, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi berkaitan.

UMNOJOHOR-06“Dalam menggerakkan usaha ini, Unit Perancang Ekonomi Negeri akan menjadi urusetia dan mesyuarat pada Februari dengan pelbagai jabatan telah mengenal pasti kawasan yang bermasalah,” kata beliau ketika ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Kota Iskandar, di sini.

Mesyuarat kedua mengenai kajian ini akan dijalankan pada Julai ini, kata Ayub (BN-Kemelah).

Bagi meningkatkan lagi peratus pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sungai Skudai, satu mesyuarat induk Sungai Skudai kali kedua akan diadakan bulan depan, katanya.

Ia diadakan bagi mendapatkan pandangan dan cadangan daripada dua jawatankuasa yang ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Keceriaan dan Pengindahan serta Jawatankuasa Pencemaran dan Kesedaran Awam, dalam usaha memastikan agar pelaksanaan strategi dapat dilaksanakan dengan cepat dan cekap.

Pada sesi perbahasan Isnin lepas, Ayub berkata kerajaan negeri setakat ini sudah melaksanakan 58 tindakan, sekali gus mencapai kemajuan pemuliharaan sungai sebanyak 34 peratus.

Beliau berkata pelan, yang sepatutnya tamat akhir tahun ini, menggariskan 15 strategi merangkumi 170 tindakan yang perlu dilaksanakan pelbagai agensi dan jabatan berkaitan.

Setakat ini, kemajuan pemuliharaan Sungai Skudai masih belum mencapai sasaran.

Berhubung cadangan untuk mewujudkan Pusat Santuari Gajah di daerah Kota Tinggi, Ayub berkata kerajaan negeri telah menjalankan Kajian Kesesuaian Santuari Gajah melibatkan 100 hektar pusat santuari dan 40,000 hektar kawasan keliaran gajah.

“Kerajaan negeri telah memohon RM39 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi menubuhkan santuari ini,” kata beliau.

Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengaktifkan semula Tabung Amanah Perlindungan Hidupan Liar, yang bakal memberi manfaat kepada penduduk kampung secara keseluruhannya, selain mengawal kerosakan tanaman pertanian akibat serangan hidupan liar, kata Ayub.