UMNO Labis Pertahan Muafakat, Tidak Terperangkap Dengan Pihak Cuba Tangguk Di Air Keruh

Labis, 15 Mei – UMNO Labis mengambil pendirian bersama-sama berada di dalam kerangka solidariti kepimpinan parti dalam usaha mengukuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam usaha merealisasikan tanggungjawab terhadap rakyat.

11068321_1135083396517407_1007988764182732394_nKetuanya, Mohd Azahar Ibrahim Ahmad berkata prinsip berkenaan cukup penting agar parti bukan sahaja terus kekal utuh dan padu malah terus sama-sama bermuafakat dikalangan ahlinya bersama pucuk pimpinan parti dalam mengharungi kemelut semasa.

Tegas beliau apa yang diungkapkan oleh pucuk pimpinan perlu dipegang dan perlu diperhalusi sebaik mungkin supaya bahtera yang dibina sejak sekian lama terus kekal dan tidak mudah dihanyut gelombang.

“Kita yakin dan percaya pucuk pimpinan cukup bijak menyelesaikan apa sahaja yang berlaku. Dan kita juga tidak akan melatah apatah lagi terperangkap dengan mainan pihak-pihak pembangkang yang cuba menangguk di air keruh.

“Apa yang penting kita tunjukkan solidariti kita…tunjukkan permuafakatan kita dan terjemahkan tanggungjawab parti dalam menunaikan tanggungjawab utama kepada rakyat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang seterusnya menambah isu-isu yang timbul hari ini biarlah pihak berkenaan menyelsaikannya dan janganlah mudah terpengaruh dengan segala dakyah yang tidak benar.UMNOJOHOR-05-2

“Insya Allah…UMNO Labis akan terus bersolidariti bersama pucuk pimpinan selaras dengan apa yang telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti baru-baru ini. Kita akan terus bersama ke depan demi parti,” katanya.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat Isnin lalu memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Menurut Najib, dalam mesyuarat itu MT mahu beliau, Muhyiddin dan seluruh kepimpinan UMNO bersatu dalam satu pasukan untuk menangani cabaran dan pada masa sama mengambil tindakan positif bagi mengukuhkan parti di sisi rakyat.

“Dengan keputusan ini, MT berharap saya dan Muhyiddin serta kepimpinan UMNO diberi ruang untuk mengemukakan idea positif supaya isu berbangkit dapat diselesaikan.

“Saya menerima tawaran daripada beberapa Ahli MT yang berpengalaman untuk membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.