Johor Beri Tumpuan Serius Perkhidmatan Air Bersih

MUAR, 14 Mei — Kerajaan Johor tetap memberikan tumpuan serius dalam memastikan perkhidmatan air bersih dapat dinikmati rakyat negeri ini yang sentiasa bertambah seiring perkembangan ekonomi negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata untuk itu kerajaan negeri sentiasa memastikan sistem pengurusan airnya cekap, mewartakan kawasan tadahan air dan menjaga kebersihan sungai yang memberikan sumber air utama.

“Kerajaan negeri akan memastikan kualiti air sentiasa selamat dan terjamin dari segi kesihatan, air dianalisis secara berkala oleh operator di loji rawatan air dan sistem agihan yang melibatkan parameter fizikal, kimia dan bakteriologi.

image“Selain operator air yang cekap, Kementerian Kesihatan juga menjalankan pemantauan untuk memastikan kualiti air yang dibekalkan mematuhi piawaian ditetapkan Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga melaksanakan audit teknikal secara berkesan dengan fokus kepada loji-loji rawatan yang tidak merawat air dengan berkesan,” katanya dalam ucapan bersempena majlis sambutan Hari Air Sedunia 2015 Peringkat Negeri Johor, di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M. Asojan; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azman Shah Ismail; Pengarah Eksekutif SAJ Holdings, Datuk Dr. Shahir Nasir; Ketua Pegawai Ekskutif SAJ Holdings, Abdul Wahab Abdul Hamid dan Presiden Persatuan Air Malaysia, Ir Mohd Syed Adnan Alhabshi.

Mohamed Khaled berkata pihak SPAN dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan operator air sentiasa melaksanakan Pelan Keselamatan Air (WSP) untuk mengenal pasti dan menangani risiko yang boleh menjejaskan kualiti sumber air.

Katanya pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan JAS mengambil langkah proaktif dalam menangani isu pencemaran sumber air dengan memulihkan sungai-sungai yang tercemar termasuk berkongsi maklumat dan langkah-langkah mengatasinya.

Beliau juga berharap melalui program kesedaran, rakyat akan lebih memahami betapa pentingnya menjaga sungai agar kualiti airnya terus terjamin.

Katanya kerajaan negeri sentiasa mengkaji semua pengurusan sumber air yang lebih holistik supaya menjadi pengurusan lebih cekap daripada sebelumnya.

Mengenai krisis bekalan air di beberapa daerah di Johor baru-baru ini, beliau berkata masalah itu bukan perkara baharu kerana ia mempunyai kaitan dengan fenomena alam berikutan cuaca panas dan kering selain kekurangan taburan hujan di kawasan tadahan.