Piala AFC: JDT juarai kumpulan benam Balestier 3-0

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit garang meledak tiga gol pada babak kedua untuk menewaskan wakil Singapura, Balestier Khalsa FC 3-0 pada aksi Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Kemenangan ini menyaksikan skuad bergelar Harimau Selatan itu muncul juara Kumpulan F dan layak ke pusingan 16 terakhir.

NSTPTuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-76 hasil rembatan pemain gantian, Safee Sali yang melibas bola tepat menerjah jaring menewaskan penjaga gol pelawat, Zaiful Nizam.

Ketika aksi berbaki lima minit Safiq Rahim menambah gol kedua dengan rembatan kencang sebelum Luciano Figueroa mengesahkan mata penuh JDT dengan gol ketiga pada minit terakhir permainan.

JDT dijadual bertemu naib juara Kumpulan H pada pusingan kedua di gelanggang mereka pada 27 Mei ini.

Dalam pada itu, wakil dari Hong Kong, Kitchee SC berjaya mengiringi JDT ke pusingan kedua kejohanan dengan kutipan 11 mata walaupun seri 2-2 menentang kelab dari India, East Bengal pada satu lagi perlawanan kumpulan F di Stadium Mongkok, Hong Kong.