Kerajaan Negeri Mohon 132 Ambulan Baru Bawah RMK11 Bagi Tampung Keperluan Johor

NUSAJAYA, 13 Mei — Kerajaan negeri Johor telah memohon sebanyak 132 ambulans dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi menampung keperluan perkhidmatan kenderaan itu di kesemua hospital kerajaan seluruh negeri, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitarnya, Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata, setakat ini, Johor mempunyai 132 kemudahan ambulans dengan 68 daripadanya terletak di hospital manakala 64 lagi di klinik kesihatan.

DAyub-02Berdasarkan daerah, taburan ambulans adalah 28 buah untuk Johor Baharu, Kulaijaya (enam), Pontian (sembilan), Ledang (sembilan), Kota Tinggi (12), Mersing (10), Muar (12), Segamat (15), Kluang (11) dan Batu Pahat (20).

“Oleh itu, kita telah memohon 132 lagi ambulans baru di bawah RMK11 dan keputusan permohonan akan diketahui dalam minggu ketiga bulan ini,” kata Ayub ketika menjawab soalan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (PAS-Sungai Abong) yang membangkitkan kekurangan kemudahan ambulans pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, ke-13, di sini hari ini.

Dalam RMK10, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan sebanyak 31 ambulans baharu membabitkan peruntukan RM8.5 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), kata beliau.

Selain itu, JKNJ juga menyediakan peruntukan RM132,000 dalam tempoh setahun bagi menyelenggara kesemua ambulans di seluruh negeri, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Abd Mutalip Abd Rahim berkata pihaknya akan melaksanakan tiga projek baharu di beberapa tanah wakaf negeri.

“Projek itu melibatkan pembinaan pangsapuri lima tingkat di atas tapak tanah Masjid Taman Perling, ruang niaga lima tingkat dan pusat dialisis di tanah wakaf Masjid Kota Tinggi serta Kompleks Fakir Miskin dan Ruang Industri Kecil dan Sederhana di Mukim, Bandar Mersing,” katanya ketika menjawab soalan Ayub Jamil
(BN-Rengit).

Abd Mutalip berkata kesemua projek itu yang dijalankan secara usaha sama dengan Jabatan Perdana Menteri, antara lainnya memberi kemudahan tempat tinggal kepada umat Islam dan meringankan bebanan golongan penerima asnaf yang tidak mampu menanggung kos perubatan tinggi.