Johor Bakal Teruskan Pelaksanaan Kuota Menegak Kerajaan Bagi Bantu Rakyat Miliki Rumah

NUSAJAYA, 13 Mei — Kerajaan Johor akan meneruskan pelaksanaan Kuota Menegak Kerajaan (KMK) dalam membantu orang awam khasnya Bumiputera yang berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi berkata langkah itu, bagaimanapun tidak bererti kerajaan negeri mahu mengawal pemilikan rumah mampu milik.

DALatif-02“Ianya adalah mengikut peraturan ditetapkan, cuma berdasarkan kepada KMK, kita memberi ruang kepada mereka yang kita tahu boleh kita bantu, berdasarkan kepada saranan pemimpin masyarakat,” katanya.

Abd Latif berkata demikian ketika menjawab soalan Chew Peck Choo (DAP-Yong Peng) yang bertanyakan sama ada kerajaan negeri akan menghapus kuota itu, pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata menerusi KMK, pihaknya yakin akan dapat terus membantu golongan yang benar-benar memerlukan rumah pada masa depan.

“Jadi tidak timbul juga soal kita hendak mengenepikan orang yang benar-benar memerlukan. Mengikut KMK, kita akan sentiasa menyemak permohonan dikemukakan,” katanya.