Johor Ambil Langkah Tangani Lebihan Penawaran Pangsapuri Perkhidmatan

NUSAJAYA, 13 Mei — Kerajaan negeri Johor kini mengambil beberapa langkah untuk menangani lebihan penawaran pangsapuri perkhidmatan di negeri itu termasuk menggubal garis panduan bagi permohonan pembinaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata buat masa ini, kerajaan negeri menangguhkan pemberian kelulusan permohonan membina pangsapuri jenis itu.

“Garis panduan itu akan meliputi semakan semula terhadap kriteria-kriteria permohonan pembinaan pangsapuri perkhidmatan dan kajian kebolehlaksanaan bagi memastikan situasi tersebut dapat dielakkan.

MB-05“Pandangan semua pihak terlibat dalam sektor perumahan termasuk Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA), pemaju-pemaju perumahan serta pihak yang berkepentingan akan diambil kira dalam penyediaan garis panduan terbabit,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab serentak soalan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) dan Dr Zaini Abu Bakar (BN-Nusajaya) mengenai tindakan kerajaan negeri dalam mengatasi lebihan hartanah, terutama pangsapuri mewah di Iskandar Malaysia, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mempertimbangkan ketetapan agar kebanyakan pangsapuri perkhidmatan yang akan dibina pada masa depan dibangunkan di Zon Antarabangsa sebagai menepati konsep yang dimahukan oleh pembeli.

“Pada masa sama, syarat ketat dikenakan kepada pemaju yang memohon untuk membina pangsapuri perkhidmatan,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), telah mewujudkan ‘Iskandar Malaysia Property Action’ (IMPACT) 2013 bagi meletakkan semua pihak berkepentingan dalam sektor hartanah, di bawah satu platform.

“Melalui IMPACT ini isu-isu semasa yang berkaitan sektor hartanah dianalisis secara inklusif dan professional, dan seterusnya mencadangkan kepada kerajaan negeri mengenai tindakan-tindakan yang wajar diambil dalam menangani isu hartanah di Iskandar Malaysia,” katanya.

Mohamed Khaled berkata pada tahun lepas sebanyak 11,459 unit rumah dilancarkan di Johor dan daripada jumlah itu 3,995 unit adalah pangsapuri perkhidmatan manakala baki merangkumi rumah teres, berkembar dan banglo.

“Berdasarkan rekod Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, transaksi bagi kediaman jenis lain adalah pada kadar 43 peratus atau 3,183 transaksi dicatatkan daripada 7,464 unit yang dipasarkan.

“Namun pangsapuri perkhidmatan didapati mengalami pengurangan permintaan kerana daripada 3,995 unit yang dilancarkan tahun lepas, cuma 1,022 unit atau 26 peratus telah dijual meskipun pelancarannya telah dibuat awal sejak suku pertama,” katanya.