Rakyat perlu bijak nilai, tapis maklumat

PONTIAN 12 Mei – Dasar-dasar serta isu semasa berkaitan pembangunan negeri ini perlu disampaikan melalui saluran yang mempunyai kredibiliti dan berkeupayaan supaya rakyat dapat menerima manfaatnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan bagi menyampaikan maklumat berkenaan dengan lebih mudah kepada masyarakat iaitu ruang dan peluang menerusi agensi dan jabatan kerajaan perlu diambil.

photo“Pendekatan ini dapat mewujudkan perhubungan yang baik antara rakyat dengan rakyat dan dengan pemimpin kerajaan, sekali gus memperkasa keharmonian hidup dengan komuniti sejagat.

“Rakyat juga perlu bijak untuk menilai serta menapis maklumat yang tidak tepat kerana ini penting supaya mereka dapat memahami setiap dasar serta isu pembangunan yang berlaku di sekeliling mereka dengan tepat,” katanya ketika merasmikan Program Semarak Johor 2015 di Dataran Datuk Jalok, Benut, di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Pontian, Kamaruddin Abdullah; Pengarah Penerangan negeri, Hashim Bedu; Pengarah Penyiaran negeri. Mohd. Yusof Abd. Hamid dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) negeri, Mohamed Abu Bakar.

Program Semarak Johor 2015 yang berlangsung selama tiga hari dua malam melibatkan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama jabatan serta agensi kerajaan di peringkat daerah.

Mohamed Khaled turut memuji tujuan penganjuran dalam merealisasi hasrat kerajaan menyampaikan maklumat secara telus dan mengurangkan kerenah birokrasi selain menghalakkan penglibatan rakyat dalam bersama agensi kerajaan.

“Ia selaras dengan tiga gagasan utama dalam Pelan Suara Hati Johor, iaitu merakyatkan kerajaan, pembangunan pro rakyat dan muafakat Johor yang kini semakin di-terima ramai.

“Program sebegini seharusnya menjadi pemudah cara kepada jabatan dan agensi kerajaan.

“Dalam masa sama ia diharap melahirkan modal insan yang cemerlang khususnya di kawasan tumpuan seiring dengan tranfomasi kerajaan ke arah sebuah negara maju menjelang Wawasan 2020. Pertumbuhan ekonomi Johor juga terus mencatat perkembangan positif,” katanya lagi.

Menurut beliau, negeri ini bukan saja terkenal sebagai hab minyak dan gas malah juga hab bio ekonomi negara dan hab kesihatan serantau serta pengeluar makanan utama melalui perancangan yang berkesan.